Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

DA'IE PERLU JUJUR, TIDAK MEMANIPULASI FAKTA

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Jun. - Dekan Fakulti Usuluddin, Dr. Mikdar Rusdi berkata, media dakwah perlu sentiasa tampil seiring dengan perkembangan zaman dalam bentuk siap pakai agar sentiasa relevan dengan cara dakwah semasa.

''Para penyampai dakwah perlu merujuk dan menghayati media dakwah para anbia agar menjadi inspirasi, panduan dalam menjalankan amanah dakwah,'' ujarnya semasa menyampaikan bengkel yang bertajuk 'Konsep dan Media Dakwah Dalam Islam' pada Bengkel Memantapkan Dakwah yang berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini.

Selaku fasilitator pertama bengkel bagi sesi pagi, beliau menjelaskan, beberapa perkara utama, termasuk memahami objektif dakwah yang ingin disampaikan juga memastikan bahawa pendekatan yang digunakan dalam menyampaikan dakwah tersebut sesuai dengan kriteria audien yang hadir.

bengkel_dakwah03a.jpg

ANTARA yang hadir pada Bengkel Memantapkan Dakwah yang berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Menurutnya, ini termasuk mengenal pasti terlebih dahulu audiens yang hadir, sama ada terdiri daripada kanak-kanak, remaja mahupun golongan berusia agar dakwah yang disampaikan mudah diterima dengan positif dan baik serta tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang sifatnya boleh menyinggung audiens.

''Dakwah perlu disesuaikan mengikut keperluan audiens sebagai contoh, kanak-kanak yang akan melangkah dewasa, maka dakwah yang disampaikan perlulah bersifat membentuk mereka sesuai dengan keperluan perkembangan, jika terdiri daripada golongan remaja, maka melalui dakwah perlu mengukuhkan minat beragama sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka,'' ujarnya.

bengkel_dakwah03b.jpg

DEKAN Fakulti Usuluddin, Dr. Mikdar Rusdi menyampaikan bengkel yang bertajuk 'Konsep dan Media Dakwah Dalam Islam' pada Bengkel Memantapkan Dakwah.

Jika dakwah bertema kekeluargaan, jelasnya lagi, maka objektif perlu tertumpu pada membina ummah dan tamadun Islam yang kukuh. Begitu juga, jika dakwah disampaikan kepada golongan profesional dan institusi, ia perlu membentuk kefahaman Whole of Nation Approach untuk kemajuan negara.

Selain itu, beberapa modal da'ie yang berkualiti, turut dijelaskan oleh Dr. Mikdar Rusdi, termasuk sentiasa mengharapkan rahmat hanya dari Allah Subhanahu Wata'ala, memohon ampun, bersifat memaafkan dan bertawakal.

''Seorang da'ie juga perlu sentiasa mendalami ilmu pengetahuan, mendapatkan nasihat serta memudahkan komunikasi, bijak dalam memilih pendekatan dakwah yang terbaik dan tidak memaksakan audiens untuk menerima penyampaian dakwah mereka,'' ujarnya lagi. Sementara itu, sesi kedua bengkel dilanjutkan dengan penyampaian tajuk 'Psikologi Dakwah : Aspek Komunikasi Berkesan Menurut Al-Quran' oleh Profesor Madya Mohd. Zahiri bin Awang Mat dari Fakulti Pendidikan KUPU SB.

Beliau, menjelaskan bahawa komunikasi melibatkan tiga perkara dalam dakwah, iaitu orang yang berdakwah, iaitu Da'ie, orang yang didakwahkan, iaitu Mad'u dan bahan, isi juga kaedah yang digunakan untuk menyampaikan dakwah.

Menurutnya, dakwah melibatkan komunikasi, sama ada secara verbal mahupun non-verbal. Dalam menyampaikan dakwah, ia perlu tertumpu kepada mendekatkan persaudaraan, bertakwa kepada Allah, kefahaman ilmu agama, seperti berkaitan amar makruf dan nahi mungkar.

Selain itu, tambahnya, da'ie perlu berkomunikasi dengan menggunakan perkataan yang benar (fakta), baik dari segi substansi (maklumat) dan tatabahasa.

''Dalam berdakwah da'ie juga perlu mempunyai sikap jujur, tidak berbohong, tidak memanipulasi fakta dan perlu mencari fakta yang tepat dengan bernas. Perkataan / ungkapan Da'ie mestilah dengan baik dan santun juga berkemampuan untuk menggunakan sindirian yang lembut supaya tidak menyakitkan atau menyinggung perasaan,'' ujarnya.

Beliau, seterusnya menjelaskan, pada setiap penyampaian tersebut perlu menimbulkan perkara yang bermanfaat dan kebaikan juga mendatangkan pahala, baik bagi dirinya maupun Mad'u. Ciri-ciri Mad'u pula ialah sensitif, mudah didekati, inginkan perubahan diri dan inginkan yang baik dengan siapa pun, tidak mengenal tempat dan masa.

Justru, katanya, adalah sangat penting bagi memastikan bahawa cara penyampaian itu adalah efektif, tepat sasaran, komunikatif, mudah difahami dan langsung ke isi utama, tidak berbelit-belit dan bersesuaian gaya bicara dengan kadar pemikiran Mad'u.

Tambahnya, bahasa yang digunakan juga perlu mudah difahami, meyakinkan orang lain tentang kebenaran argumentasi, di samping kemahiran dalam pendekatan emosional juga sangat penting, iaitu dengan menyentuh emosi Mad'u untuk berfikir.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 14 Jun 2021. Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman)

Attachments