Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MU'TAMAR ANTARABANGSA FIQH AL-USRAH, 9 JUN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Jun. - Ibu bapa merupakan ahli keluarga yang berperanan penting dalam mewujudkan keluarga sakinah dan mawaddah warahmah.

Mereka ini juga merupakan ejen pembentukan sahsiah anak-anak yang juga bertanggungjawab menyediakan persekitaran yang sihat dan Islamik.

Ledakan teknologi maklumat dan siber banyak mempengaruhi cara tarbiah anak-anak dan ini memerlukan pendidikan kekeluargaan mendominasi pembentukan sahsiah anak-anak.

Kegagalan ibu bapa menyempurnakan amanah, tugas dan tanggungjawab masing-masing menjadi faktor keruntuhan institusi kekeluargaan juga keruntuhan akhlak anak muda dan remaja.

Menyedari akan kepentingan pendidikan kekeluargaan untuk diperbincangkan, Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah, anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), yang akan diadakan pada 9 Jun 2021, bertempat di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.

muafiq2021.png

PEGAWAI Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, KUPU SB, Dr. Haji Sham bin Haji Amin pada Sidang Media bagi Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, KUPU SB, Dr. Haji Sham bin Haji Amin pada Sidang Media bagi Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah, yang berlangsung di Bilik Taqwa, KUPU SB, di sini.

Beliau, seterusnya menjelaskan, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian itu nanti, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Dengan tema 'Keluarga Sakinah dan Mawaddah Warahmah', beliau kemudiannya menerangkan bahawa antara objektif Mu'tamar tersebut diadakan ialah untuk memperkasa pendidikan kekeluargaan dalam kalangan umat Islam masa kini, selain daripada mengenal pasti isu-isu dan cabaran dalam kehidupan berkeluarga.

"Melalui Mu'tamar tersebut juga diharapkan akan dapat mencapai penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang kepada masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat dewasa ke arah kehidupan berkeluarga yang penuh harmoni.

"Satu Kertas Perdana akan disampaikan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

"Selain itu, dua Kertas Utama dan beberapa kertas kerja turut akan dibentangkan oleh beberapa pakar dari Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. Ceramah Khas Fiqh Al-Usrah juga akan disampaikan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar," tambahnya lagi.

Orang ramai adalah dijemput dan dialu-alukan untuk menghadiri Mu'tamar berkenaan. Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Setiausaha Mu'tamar menerusi talian +673 7151785.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 07 Jun 2021)


Attachments