Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS PENUTUP TADARUS AL-QURAN KUPU SB

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Mei. - Sesuai dengan keberkatan Ramadan meskipun hampir menutup tirainya dalam beberapa hari sahaja lagi namun masih banyak pihak masih aktif untuk mengaut pahala dengan mengadakan majlis berkebajikan.

Dalam memanfaatkan kesempatan ini, pembacaan Al-Quran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar diakhiri dengan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran dan Penyampaian Barakah juga Iftar Ramadan diadakan di Surau Siswa, KUPU SB, hari ini, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Pegawai Kegiatan Luar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, Ampuan Muhammad Fu'ad bin Ampuan Babba.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas dipimpin oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed.

tadarus01.jpg

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menyampaikan sumbangan Barakah Ramadan kepada penerima yang diraikan.

Sejurus selepas itu, Dr. Haji Adanan menyampaikan sumbangan Barakah Ramadan berupa barangan keperluan Hari Raya kepada seramai 72 penerima dalam kalangan anak-anak yatim dan pelajar-pelajar KUPU SB yang terpilih.

Pada majlis tersebut, Dr. Haji Adanan juga berkesempatan mengimamkan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan diteruskan dengan Sembahyang Sunat Tarawih serta Witir Berjemaah diimamkan oleh Pegawai Pelajaran (Taranum), Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Awang Nasrul Fikri bin Haji Yahya.

tadarus02.jpg

RA'ES KUPU SB (tiga, kanan) pada Majlis Penutup Tadarus Al-Quran dan Penyampaian Barakah juga Iftar Ramadan.

Antara objektif majlis diadakan adalah untuk sama-sama menghayati dan mencintai bulan suci Ramadan yang penuh dengan nikmat kerahmatan dan keampunan dan mengukuhkan ketakwaan dalam kalangan warga KUPU SB dalam bulan yang penuh dengan kerahmatan.

Selain itu, ia diharapkan bagi semua untuk mengambil iktibar perkara yang berkebajikan daripada perilaku yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam bulan Ramadan supaya dapat diaplikasikan dalam bulan-bulan lainnya.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Ra'es, Dr. Abang Haji Hadzmin bin Haji Abang Taha; pegawai-pegawai Utama; pensyarah-pensyarah dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 12 Mei 2021. Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

Attachments