Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MENGHALUSI RUKUN SEMBAHYANG

MUARA, Sabtu, 3 April. - Program Halaqah Syariah Bimbingan Solat sempena Israk dan Mikraj meneruskan lagi siri ceramahnya bertajuk 'Menghalusi Tertib Solat Menurut Mazhab Al Syafie R.A' yang diadakan di Masjid Setia Ali, Pekan Muara baru-baru ini.

Ceramah disampaikan oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar yang antara lain menerangkan tentang rukun-rukun sembahyang, di mana sebahagian daripada kita mungkin terlepas pandang atau kurang pemahaman mengenai perkara rukun dalam sembahyang yang dikerjakan setiap hari.

Salah satunya ialah Takbiratul Ihram, iaitu sunat bagi kita mengangkat tangan semasa Takbiratul Ihram, iaitu tapak tangan bersetentangan dengan kepala bahu. Selain itu, hujung jari sama dengan bahagian atas telinga, ibu jari menyamai cuping telinga, hujung jari dicondongkan ke arah kiblat serta jari-jari di jarangkan sedikit.

halaqah_dmuara1.jpg

YANG Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara semasa hadir mendengarkan ceramah yang disampaikan oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Semasa mendakap tangan ketika berdiri pula ialah meletakkan tapak tangan sebelah kiri antara di bawah dada dan atas pusat, sementara tapak tangan sebelah kanan diletakkan di atas pergelangan tangan kiri serta mata hendaklah menoleh ke tempat sujud.

Sesi kali ini juga turut diadakan sesi soal jawab dan contoh secara praktikal agar jemaah lebih memahami dan mengerti lagi akan perkara-perkara yang disampaikan.

Hadir bersama jemaah di sini, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Pemangku Penghulu Mukim Serasa dan Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 5 April 2021. Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

Attachments