Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BERI KEMAHIRAN MASYARAKAT AWAM TENTANG KITAB TURATH

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 29 Mac. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Program Talaqqi Kitab Turath bagi orang awam, bertempat di Dewan Tarbiyah, kolej universiti berkenaan baru-baru ini.

Penyampaian sijil kepada 49 peserta program disempurnakan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar selaku tetamu kehormat majlis.

Program talaqqi tersebut dilaksanakan buat pertama kali pada bulan Oktober hingga Disember tahun 2020, iaitu selama 12 minggu dan diteruskan dengan pengambilan kedua selama lapan minggu pada bulan Februari hingga Mac 2021.

Dalam ucapan alu-aluan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Dr. Haji Harapandi bin Dahri menyatakan bahawa antara objektif program berkenaan diadakan adalah untuk memberikan empat kemahiran bagi masyarakat awam dalam Kitab Turath, iaitu Mahir fi al-Qira'ah dengan latihan membaca, Mahir fi al-Kitabah dengan latihan menulis, Mahir fi al-Fahm dengan penerangan dan Mahir fi al-Ta'lim dengan mengajarkan kembali Kitab Turath.

program talaqqi kt2021_n2.jpg

PENGARAH Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Dr. Haji Harapandi bin Dahri menyampaikan ucapan alu-aluan.

Selain itu, beliau menjelaskan, ia juga bagi menanamkan rasa cinta terhadap karya-karya ulama terdahulu dan menjadikannya sebagai rujukan dalam praktik keberagamaan masyarakat yang bersesuai dengan Ahli Sunnah Waljamaah ala Mazhab Imam Al-Syafi'e.

Program talaqqi berkenaan, tambahnya, akan diteruskan lagi pada bulan Julai tahun 2021 nanti.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan tandatangan Jawi yang dibukakan kepada para pensyarah, kakitangan dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.

Pertandingan tersebut bermatlamat bagi menggalakkan dan merangsang minat warga KUPU SB dalam mencipta dan menulis tandatangan Jawi, selain mempopularkan serta memperluaskan penggunaan tandatangan Jawi di KUPU SB khasnya dan Negara Brunei Darussalam secara amnya.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB, Awang Haji Mohd. Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk dalam ulasan jemaah hakim pertandingan tandatangan Jawi antara lain menjelaskan, penilaian terhadap tandatangan Jawi yang diserahkan adalah berdasarkan praktikaliti, kreativiti, keterangan mengenai tandatangan dan kebersihan.

program talaqqi kt2021_n1.png

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan.

Penilaian hakim juga berdasarkan kecepatan dalam penulisan tandatangan yang dihasilkan, di samping menjaga rupa bentuk huruf asal yang diubahsuai.

Selain itu, keunikan bentuk yang dicipta, termasuk pengertian di sebalik tandatangan tersebut dan tahap kesukaran untuk ditiru turut menjadi aspek dalam penilaian jemaah hakim.

Pemenang pertandingan Kategori 'A' bagi mahasiswa / mahasiswi KUPU SB diraih oleh Dayangku Nursyamimi binti Pengiran Norhasman.

Sementara itu, Pengiran Nurul Majeedah binti Pengiran Haji Hamdan diumumkan sebagai pemenang pertandingan bagi Kategori 'B' staf akademik.

Manakala Awang Abdul Hakim bin Dr. Haji Roslan memenangi Kategori 'C' bagi kakitangan KUPU SB.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha dan pegawai-pegawai utama KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 31 Mac 2021. Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin)

Attachments