Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BENTUK KELUARGA SAKINAH, MAWADDAH, RAHMAH CAPAI MARDHATILLAH

KUALA BELAIT, Sabtu, 20 Februari. - Program Jaulah Fiqh al-Usrah merupakan sebuah program keilmuan yang dikelolakan oleh Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Ia adalah khusus berkaitan kekeluargaan, berbentuk ceramah atau kuliah Fardu Maghrib dan Isyak, di masjid-masjid terpilih, di seluruh negara, bermula Januari hingga Mac 2021.

Program kali ini diadakan di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, baru-baru ini.

jaulah_fiqh01.jpg

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Amalan Harian Keluarga Berkah'.

Antara objektif Program Jaulah Fiqh al-Usrah adalah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat akan kepentingan institusi keluarga dalam pembangunan masyarakat.

Ceramah bertajuk 'Amalan Harian Keluarga Berkah', disampaikan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Antara lain isi ceramah, yang disampaikan menyentuh akan kepentingan penjagaan amalan kehidupan seharian dalam membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.

jaulah_fiqh02.jpg

ANTARA jemaah yang mendengarkan ceramah pada Program Jaulah Fiqh al-Usrah.

Dr. Haji Adanan juga menekankan, akan kepentingan amalan-amalan sunnah untuk diterapkan dalam kehidupan berkeluarga dari setiap aspek kehidupan.

Seperti aspek ibadah, berdoa, berzikir juga adab-adabnya, solat berjemaah, membaca Al-Quran, hadir ke masjid-masjid, amalan memberi salam terhadap ahli keluarga, memohon perlindungan kepada Allah terhadap ahli keluarga dan sebagainya sebagai rutin kehidupan seharian.

Begitu juga aspek yang tidak kurang pentingnya mengenai aspek pemakanan adalah penting untuk setiap keluarga agar menjaga dan mengatur pemakanan mengikut aturan-aturan juga kaedah yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan bersumberkan daripada yang halal lagi baik agar mencapai tujuan sebenar hidup berkeluarga, menurut Al-Quran dan As-Sunnah.

Program seumpama itu dihasrat akan membantu memberikan bimbingan kepada masyarakat dalam membentuk keluarga yang Sakinah, Mawaddah dan Rahmah juga mencapai mardhatillah (keredaan Allah Subhanahu Wata'ala).


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 22 Februari 2021. Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed) 


Attachments