Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

ZAHIR KECINTAAN KEPADA RAJA, BANGSA, NEGARA

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Februari. - Majlis Menaikkan Bendera Kebangsaan merupakan antara inisiatif Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan menjadi simbolik bagi warga KUPU SB selaku rakyat jati Melayu Islam Beraja (MIB) yang sentiasa taat setia dan tidak berbelah bahagi kepada Canselor KUPU SB, iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar semasa ditemui melahirkan kesyukuran dan berbangga menjadi warganegara dan rakyat, di mana dengan acara seumpama itu merupakan salah satu cara mengekspresikan ketaatan kepada raja dan kecintaan kepada negara melalui bendera.

Semasa ditemui selepas Majlis Menaikkan Bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-37, Tahun 2021 di pekarangan hadapan KUPU SB di sini, Dr. Haji Adanan menyatakan bahawa KUPU SB melatih para pelajarnya yang bakal menjadi pendidik dan akan dilaratkan pengalaman itu untuk sama-sama meningkatkan patriotisme mereka sebagai jati diri mereka selaku rakyat dan penduduk di negara ini.

naik_bendera01.jpg

RA'ES KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar hadir pada Majlis Menaikkan Bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-37, Tahun 2021 di pekarangan hadapan KUPU SB.

Bendera kebangsaan katanya, ibarat satu 'pakaian' yang rasmi dan selalu tersemat di hati bahawa kita adalah warganegara yang sentiasa merealisasikan kalimah suci yang terdapat di bendera kita, iaitu kita dan semua rakyat NBD sentiasa akan berusaha membuat ihsan dengan petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala.

Beliau berharap mudahmudahan semangat waja akan berterusan ke arah samasama membina dan membangun bangsa dan negara melalui pendidikan nanti. ''Kita berdoa mudah-mudahan semua rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa dalam peliharaan Allah dan sentiasa berbuat ihsan dan akan menjadi sebagai negara yang aman damai hingga ke akhirnya nanti,'' doanya.

naik_bendera02.jpg

PARA peserta beruniform, terdiri daripada pelajar KUPU SB yang memeriahkan majlis tersebut.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Asma 'ul-Husna dan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf diikuti penyerahan bendera yang disempurnakan oleh Ra'es KUPU SB dan seterusnya Upacara Menaikkan Bendera sambil menyanyikan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' disusuli laungan 'Allahuakhbar' sebanyak tiga kali.

Majlis turut disemarakkan dengan perbarisan lalu para peserta pembawa Bendera Besar, Majlis Perwakilan Pelajar, pasukan-pasukan beruniform, termasuk Kadet Tentera, Kadet Polis, Kadet Bomba, Persekutuan Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Pandu Puteri dan pelajar-pelajar KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 20 Februari 2021 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi; Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi; Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)


Attachments