Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS KESYUKURAN TAMAT KURSUS

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Januari. - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Majlis Kesyukuran Tamat Kursus Kepimpinan dan Penghargaan MPP, Persatuan Pelajar yang berlangsung di Banquet Hall, Garden Central, hari ini.

Majlis diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat dan sumbangan yang diberikan oleh MPP Sesi 2018 / 2019 dan 2019 / 2020 kepada KUPU SB serta penyerahan sijil tamat kursus kepimpinan kepada Ahli MPP 2020 / 2021 yang diadakan bermula pada 5 hingga 8 Januari 2021.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Dalam ucapan alu-aluan Yang Dipertua Pelajar 2018 / 2019, Abdul Nasir Saufi bin Hassan menjelaskan bahawa lantikan sebagai Ahli MPP merupakan satu amanah yang juga diiringi dengan penuh pengalaman, tanggungjawab, cabaran dan rintangan yang bertujuan untuk memberi kekuatan sebagai seorang ketua yang dipercayai.

majlis_kesyukuran01.png

YANG Di Pertua Pelajar 2018 / 2019, Abdul Nasir Saufi bin Hassan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut
RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Pengalaman yang diperoleh tersebut adalah sangat berharga dan berguna khususnya selepas tamat pengajian kerana ia membentuk dan membangun diri menjadi lebih matang, bertanggungjawab, cekap dan mampu bekerjasama.

Selain itu, tambah Abdul Nasir, setiap tugas dan amanah yang dilaksanakan, memerlukan sokongan dan dukungan semua pihak termasuk pihak pentadbiran, pensyarah, keluarga dan rakan. Mereka perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam merealisasikan visi dan misi KUPU SB.

majlis_kesyukuran02a.jpg

RA'ES KUPU SB semasa menyampaikan sijil penghargaan pada Majlis Kesyukuran Tamat Kursus Kepimpinan dan Penghargaan MPP, Persatuan Pelajar yang berlangsung di Banquet Hall, Garden Central (atas dan bawah).

majlis_kesyukuran02.png

Majlis diteruskan dengan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Kepimpinan kepada seramai 29 Ahli MPP 2020 / 2021 dan Ahli MPP 2019 / 2020.

Turut diselajurkan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Ahli MPP 2018 / 2019 dan 2019 / 2020 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Kursus Kepimpinan bagi MPP 2020 / 2021 diadakan selama empat hari bermula pada 5 Januari yang lalu dan berakhir pada 8 Januari 2021.

Dengan membawakan tema kursus 'Pemimpin Bertakwa Persatuan Berkat', kursus yang diadakan meliputi pelbagai aktiviti di beberapa buah tempat termasuk taklimat dan bengkel seperti pengurusan pentadbiran, format kertas kerja dan laporan, pembuatan minit dan persuratan, Excel Microsoft & poster design dan pengurusan kewangan bertempat di Bilik Kuliah Ithtirab, Institut Perkhidmatan Awam, khidmat masyarakat, kegiatan berpasukan di Taman Peranginan Tasek Lama dan Hutan Simpan Berakas serta sesi lawatan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pemangku pendaftar, pegawai-pegawai utama dan kakitangan KUPU SB, Awang Haji Sufri bin Kurus.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 9 Januari 2021 oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)


Attachments