Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TINGKATKAN KEFAHAMAN MELAKSANAKAN SEMBAHYANG

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 28 Disember. - Sembahyang adalah rukun kedua daripada Rukun Islam yang kelima sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud : ''Islam ditegakkan di atas lima perkara, iaitu bersyahadah bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad ini Rasulullah; mendirikan sembahyang; mengeluarkan zakat; berpuasa di bulan Ramadan; dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan menunaikannya''. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Justeru, Islam tidak akan tertegak pada diri seseorang melainkan tertegaknya kesemua Rukun Islam.

Seramai 40 Ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam dan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam menghadiri Bengkel Menghalusi Sembahyang anjuran Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di Dewan Serbaguna, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

kefhmn_solat01_a.jpg

AHLI Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam dan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam menghadiri Bengkel Menghalusi Sembahyang anjuran Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Antara tajuk yang disampaikan dalam bengkel ialah 'Kaifiat Solat' disampaikan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; 'Syarat Wajib dan Sah Solat' disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar; 'Perkara Sunat dan Makruh Solat' disampaikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Syariah, Pengiran Dr. Hajah Norwidayawati binti Pengiran Haji Metusin; dan 'Rukun serta Perkara Membatalkan Solat' disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Syariah, Dr. Haji Abdul Rauf bin Muhammad Amin.

Bengkel tersebut khusus diadakan bagi sama-sama merealisasikan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menginginkan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang benar-benar memenuhi ciri-ciri 'Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur', iaitu yang sejahtera lagi bahagia di bawah pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala.

kefhmn_solat01_B.jpg

RA'ES KUPU SB semasa menyampaikan 'Kaifiat Solat'.


Ia juga merupakan wadah usaha KUPU SB sebagai pemudah cara dalam menyebarkan ilmu pengetahuan serta maklumat, khususnya dalam bidang pendidikan Islam.

Selain itu, ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kefahaman peserta mengenai kewajipan melaksanakan sembahyang fardu lima waktu, menghalusi segala rukun dan syarat sembahyang fardu serta melaksanakan sembahyang fardu yang betul dan sempurna menurut Mazhab Syafi'e.

Ia juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi ketakwaan peserta dengan menjaga sembahyang fardu lima waktu dan mendirikannya secara berjemaah.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 30 Disember 2020 oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)


Attachments