Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BENGKEL TADABBUR AL-QURAN KUPU SB, 17 - 18 NOVEMBER

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Al-Quran adalah cahaya petunjuk kebenaran dan peringatan bagi orang yang mengambil manfaat darinya, bukanlah sebuah kitab yang hanya dibaca, namun ia juga perlu difahami, ditadabburi, dihayati dalam kehidupan seharian, malah perlu diajarkan kepada masyarakat awam, terutama jemaah masjid.

Memetik kembali kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Majlis Pembukaan Rasmi Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, pada 29 Januari 1999, bertitah : "Sekarang terdapat kecenderungan memanfaatkan masjid sebagai pusat ilmu, iaitu suatu kecenderungan yang sihat. Maka kita pun bergerak mengadakan kutubkhanahkutubkhanah atau mini kutubkhanah untuk orang ramai merujuk dan membaca kitab-kitab.

 "Langkah ini, beta percaya, adalah satu cara yang baik ke arah memakmurkan masjid-masjid, akan tetapi, di samping itu juga, ia akan lebih berkesan lagi jika terdapat pula Pegawai-pegawai Masjid sendiri yang mampu menjadi guru kepada ramai, dalam makna mereka juga imam dan mereka juga mualim kepada jemaah masing-masing".

bengkel_tadabbur01.png

SIDANG Media Bengkel Tadabbur Al-Quran KHEU disampaikan oleh Ketua Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Suhaimi bin Haji Mohd. Noor selaku Setiausaha Bersama Bengkel tersebut.

Sehubungan itu, Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) akan mengadakan Latihan Training of Trainers kepada Pegawai-pegawai Masjid selama dua hari, dinamakan sebagai Bengkel Tadabbur Al-Quran KHEU.

Sidang Media bagi bengkel berkenaan diadakan di Bilik Hikmah KUPU SB, disampaikan oleh Ketua Bahagian Bimbingan dan Latihan, JHEM, Awang Haji Suhaimi bin Haji Mohd. Noor selaku Setiausaha Bersama Bengkel.

Menurutnya, Bengkel Tadabbur Al-Quran KHEU ini akan dilaksanakan di Dewan Tarbiyah KUPU SB selama dua hari, bermula dari 17 hingga 18 November 2020.

"Dijangkakan seramai 100 orang daripada kalangan Pegawai Masjid seluruh negara akan menyertai bengkel tersebut nanti. Manakala Pembengkel dan Fasilitator, terdiri daripada kalangan tenaga akademik KUPU SB," katanya.

Antara tujuan bengkel diadakan adalah untuk menjelaskan, kaedah tadabbur Al-Quran yang berkesan, selain untuk menerangkan metodologi pengajaran tadabbur Al-Quran di masjid, seterusnya melatih para Pegawai Masjid sebagai mualim mengajarkan tadabbur Al-Quran kepada jemaah masjid.

Semoga dengan adanya bengkel berupa Training of Trainers kepada Pegawai Masjid ini nanti akan menjadi platform bagi mereka untuk meningkatkan lagi kualiti bacaan Al-Quran dengan tadabbur juga kefahaman dalam pelbagai metodologi dan kaedah penyampaian pengajaran lebih menarik agar para Pegawai Masjid berperanan sebagai mualim dalam menyebarkan tadabbur Al-Quran kepada jemaah masjid.


(Petikan dari Pelita Brunei, 14 November 2020 oleh Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad, Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)


Attachments