Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB SEMARAKKAN MAULIDUR RASUL

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 November. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar hari ini menganjurkan Majlis Habibi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam 1442H / 2020M.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Abang Haji Hadzmin bin Haji Abang Taha.

Turut hadir, Pemangku Penolong Ra'es KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, pegawai-pegawai utama, pensyarah, kakitangan dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.

Majlis disemarakkan dengan Forum Habibi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan membawakan tiga ahli panel yang terdiri daripada Profesor Madya Fakulti Pendidikan, Profesor Madya Dr. Muhammad Zahiri bin Awang Mat; Dekan Fakulti Usuluddin, Dr. Mikdar Rusdi; dan Pengarah Pusat Pengkajian dan Penyelidikan Jawi dan Kitab Turath, KUPU SB, Dr. Haji Harapandi bin Dahri.

maulid_kupusb.png

AHLI-ahli panel semasa hadir pada Forum Habibi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Profesor Madya Dr. Zahiri bin Awang Mat ketika membincangkan mengenai akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan merujuk kepada ayat 4 dalam Surah Al-Qalam menjelaskan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mempunyai akhlak yang agung, melebihi akhlak-akhlak makhluk yang lain.

Agung di sini jelasnya, ditafsirkan sebagai akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang agung, yang pernah digambarkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan tidak pernah digambarkan kepada mana-mana hamba-Nya atau ciptaan-Nya yang lain.

Dari sana, difahami bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan ikutan semua yang paling mulia dan hebat dari segi agamanya, tingkah lakunya dan tindak tanduknya.

Dr. Haji Harapandi pula menjelaskan bahawa terdapat beberapa cara untuk kita melafazkan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, yang pertama ialah dengan meneladani sikap dan perilaku Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, seperti yang dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21.

Kedua, sentiasa merindukan dan mengingati Baginda, Dr. Haji Harapandi turut menjelaskan bahawa orang yang sentiasa merindukan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan selalu berusaha mengerjakan amalan-amalan yang Baginda contohkan agar nanti dapat mendekatkan diri dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Katanya lagi, ketiga, mencintai keluarga Rasulullah, keempat, mencintai sahabat-sahabat Rasulullah dan kelima, mencintai orang-orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Dr. Mikdar pula menjelaskan tentang kepentingan untuk kita sentiasa muhasabah dari apa yang boleh diperoleh dari memperingati Maulidur Rasul, iaitu ia akan semakin membuat kita mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan mencontohi Baginda dalam menyebarkan nilai rahmat, semakin dekat dan memahami agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dr. Mikdar menambah, melalui kefahaman mengenai sejarah Nabi, khususnya dalam keadaan kehidupan yang mencabar sekarang, kita perlu belajar untuk merasakan nikmat di sebalik musibah dan mempraktikkan dua sifat Nabi, iaitu sabar dan syukur.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang - pemenang pertandingan tazkirah, perkhemahan dan penghasilan video sirah Rasul yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Objektif majlis tersebut adalah bagi menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu dengan menanai rasa cinta dan kasih terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai uswah hasanah sepanjang masa melalui selawat-selawat kepada Baginda, bukan sahaja pada hari kelahiran Baginda, tetapi pada bila-bila masa dan juga mengamalkan sunnah Rasulullah.

Acara sampingan termasuk Majlis Malam Cinta Rasul, Pertandingan dan Pameran Sunnah Rasulullah serta Bazar Jualan turut diadakan. 


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 9 November 2020 oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)


Attachments