Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PEMBARIGAAN PENGUKUHAN MAQASID SYARIAH

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Oktober. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Syariah mengadakan Jerayawara Pembarigaan Pengukuhan Kefahaman Maqasid Syariah bagi seluruh warga KUPU SB, bertempat di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.

Dengan membawakan tema 'Pengukuhan Maqasid Syariah Pemangkin Kemakmuran dan Kesejahteraan Negara Yang Berterusan', jerayawara tersebut diungkayahkan oleh Fakulti Syariah KUPU SB dan bermatlamat untuk memberi pendedahan serta kefahaman kepada seluruh warga KUPU SB dan juga orang awam mengenai tujuan dan hikmah mensyariatkan sesuatu hukum, sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya.

Hadir selaku tetamu kehormat Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. Selain itu, untuk dijadikan sebagai panduan dan asas dalam perkhidmatan dan mengamalkan syariat Islam yang bersifat global dan relevan untuk setiap keadaan, masa dan zaman.

maqasid_syr01.jpg

DEKAN Fakulti Syariah, KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar ketika ucapan alu-aluan (kiri) dan menyampaikan taklimat pembarigaan bersama Penolong Kanan Profesor, Fakulti Syariah KUPU SB, Dr. Haji Rauf bin Muhammad Amin (kanan).

Dalam ucapan alu-aluan Dekan Fakulti Syariah, KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar menjelaskan bahawa jerayawara pembarigaan pengukuhan kefahaman Maqasid Syariah ini diungkayahkan sebagai inisiatif dan usaha KUPU SB dalam sama-sama merealisasikan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menginginkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang benar-benar memenuhi ciri-ciri 'Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur' yang sejahtera lagi bahagia di bawah pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Menurutnya, hasrat ini mampu direalisasikan dengan melahirkan masyarakat yang merasakan keistimewaan Islam dan yakin syariatnya serta mengaplikasikan tuntutannya dalam kehidupan seharian, termasuklah dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat, berbangsa, berkerajaan dan bernegara.


RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) (kanan) hadir selaku tetamu kehormat pada Jerayawara Pembarigaan Pengukuhan Kefahaman Maqasid Syariah bagi seluruh warga KUPU SB.

Ini juga, jelasnya, termasuk menjunjung tinggi titah Kebawah DYMM yang menekankan kepentingan pengukuhan Maqasid Syariah sebagai pemangkin ke arah memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara terus berkekalan.

Tambahnya lagi, jerayawara ini akan dilaratkan ke kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan, di mana akan dilaksanakan pada tahun 2021 nanti. Turut dilaksanakan ialah bengkel atau kursus di kementerian dan jabatan yang berkaitan dengan pengukuhan kefahaman Maqasid Syariah.

Antara pengisian dalam jerayawara tersebut ialah penjelasan mengenai definisi dan asas Maqasid Syariah, kepentingan memahami Maqasid Syariah, aplikasi Maqasid Syariah di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat serta penerapan Maqasid Syariah dalam kepimpinan dan pentadbiran.

Taklimat pembarigaan disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Dr. Haji Noralizam dan Penolong Kanan Profesor, Fakulti Syariah KUPU SB, Dr. Haji Rauf bin Muhammad Amin.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 5 Oktober 2020 oleh Rohani Haji Abdul Hamid)


Attachments