Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

ILMU, GURU TIDAK DAPAT DIPISAHKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar KUPU SB mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru 1442H / 2020M bertempat di Dewan Tarbiyah, KUPU SB, hari ini, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir, pegawai - pegawai utama, pensyarah dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Asma al-Husna dan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' beramai-ramai. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil khas buat Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang dipimpin oleh tenaga pengajar Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Haji Manan bin Haji Osman.

Manakala Doa Tahlil dibacakan oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, KUPU SB, Hilman bin Haji Salim. Majlis dilanjutkan dengan tausiah yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor Fakulti Syariah, KUPU SB, Dr. Haji Abd. Rauf bin Muhamad Amin, yang bertajuk 'Hormati Guru Berkat Hidup'.

Dr. Haji Abd Rauf menjelaskan bahawa dalam Islam, ilmu dan guru tidak dapat dipisahkan. Guru digambarkan sebagai cahaya yang menerangi kehidupan kita. Justeru, Islam mengingatkan kita bahawa guru adalah sangat dihormati dan dimuliakan.

MHG2020_1.png

MAJLIS diserikan dengan tausiah yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor Fakulti Syariah, KUPU SB, Dr. Haji Abd. Rauf bin Muhamad Amin yang bertajuk 'Hormati Guru Berkat Hidup' (atas). Manakala gambar bawah, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil khas buat Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien. 

MHG2020_1a.png

Banyak Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mewajibkan untuk memulihkan dan menghormati guru. Orang yang menghormati dan memulihkan guru, maka dia akan mendapatkan kehidupan yang penuh dengan keberkatan, ilmunya berkat sehingga bermanfaat di dunia.

Untuk mendapatkan keberkatan kehidupan terutama dalam ilmu, Islam mengajarkan cara-cara menghormati guru seperti seorang murid mencintainya dengan cara mendoakannya, tidak mengungkapkan aibnya dan sentiasa selalu menyebut kebaikannya dan yang paling penting seorang murid tidak boleh menyakiti hati guru.


Ra'es KUPU SB (dua, kanan) hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.

Persembahan apresiasi pelajar bertajuk 'Guruku Dunia Akhirat' disampaikan oleh Yang Di-Pertuan Majlis Perwakilan Pelajar, KUPU SB, Awangku Muhd Ridauddin bin Pengiran Amin dan beberapa video apresiasi guru yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar khusus bagi pensyarah-pensyarah KUPU SB.

Majlis ditutup dengan bacaan Doa Khas KUPU SB yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, KUPU SB, Hilman bin Haji Salim. Majlis sambutan hari guru KUPU SB ini bermatlamat bagi pertama-tama, memperingatkan jasa dan sumbangan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien terhadap kemajuan dan pengukuhan pendidikan, khususnya pendidikan Islam di Negara Brunei Darussalam. Selain itu, ia bermatlamat bagi pelajar-pelajar menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para pendidik yang telah bertungkus lumus mencurahkan ilmu pengetahuan kepada pelajar.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 28 September 2020 oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)


Attachments