Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SKOP PENGAJIAN HALAL, PENYELIDIKAN DIBENTANGKAN

GADONG, Sabtu, 26 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT) menganjurkan Seminar Pascasiwazah bersama - sama dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) selama sehari bertempat di Dewan Auditorium, UNISSA, di sini.

Seminar yang julung-julung kali diadakan membawa tema 'Halal Education and Research' adalah pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa keberangkatan baginda ke Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-4 pada tahun 2014 dan semasa berangkat membuat Lawatan Tidak Berjadual ke KUPU SB pada 22 Januari 2020 yang antaranya titah baginda itu menekankan agar UNISSA dan KUPU SB sering berganding bahu dalam melahirkan para intelektual Islam yang sejati.

Seminar_halal_01.png

ANTARA yang membuat pembentangan kertas kerja yang dibentangkan membawa skop pengajian halal dan penyelidikan (kiri, tengah dan kanan).

Seminar Pascasiswazah merupakan sebuah landasan bagi UNISSA dan KUPU SB berganding bahu dalam melahirkan mahasiswa yang intelektual dan berpengetahuan lalu mengongsikan ilmu - ilmu tersebut kepada orang awam.

Sebanyak 14 kertas kerja dibentangkan oleh para-para siswazah dari kedua-dua institusi yang membawa skop pengajian halal dan penyelidikan yang dibahagikan kepada tiga sesi.

Hadir bagi menyaksikan seminar ini ialah Rektor UNISSA, Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Pemangku Penolong Ra'es, KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kasih dan disertai oleh barisan pensyarah dari kedua-dua institusi.


REKTOR UNISSA (tiga, kanan) semasa hadir pada Seminar Pascasiswazah UNISSA - KUPU SB tersebut.

Terdahulu, majlis turut menyaksikan penyampaian sijilsijil kepada para pembentang yang disempurnakan bersama oleh Rektor UNISSA dan Pemangku Penolong Ra'es KUPU SB.

Melalui seminar tersebut pihak penganjuran turut berharap agar ia menjadi salah satu tunjang utama dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan tinggi selaras dengan Wawasan Brunei 2035 serta ilmu yang disampaikan sangat berguna kepada orang awam untuk melahirkan manusia yang berguna kepada masyarakat.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 28 September 2020 oleh Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi)


Attachments