Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB SEMARAK SAMBUTAN AWAL TAHUN HIJRAH

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Bagi menyemarakkan lagi hari-hari kebesaran Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Baharu 1442 Hijrah yang berlangsung di Dewan tarbiyah, KUPU SB.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra'es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Ra'es, Dr Abang Haji Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Penolong Ra'es, Datin Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, pegawai-pegawai utama, para pensyarah, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.


Dr Haji Adanan ketika menyampaikan tazkirah khas bertajuk ‘Generasi Hijrah’ serta menjelaskan peranan atau tanggungjawab seorang guru.

Majlis yang diungkayahkan oleh exco kesenian dan kebudayaan Islam serta exco keugamaan dan takmir surau, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KUPU SB itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Asma al-Husna sebelum nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'.

Pengerusi majlis, Awang Muhammad Noor Asymawi bin Awang Asli yang merupakan mahasiswa Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dalam ucapannya menjelaskan, antara objektif majlis itu diadakan ialah untuk menyemarakkan sambutan hari-hari kebesaran Islam dengan menganjurkan program dan aktiviti keagamaan yang boleh mengukuhkan lagi penghayatan dan cinta terhadap Agama Islam.

Selain itu, untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan warga KUPU SB, tambah beliau selaku Exco Kesenian dan Kebudayaan Islam KUPU SB.

Majlis diteruskan dengan tazkirah khas bertajuk 'Generasi Hijrah' yang disampaikan oleh Dr Haji Adanan yang antara lain menjelaskan bahawa peranan atau tanggungjawab guru ialah sebagai agen sosialisasi, sebagai lidah kerajaan bagi menyampaikan ilmu yang benar dan seterusnya membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memenuhi dan mencapai hasrat serta matlamat negara.

hijrah1442_2a.jpg

Penyampaian hadiah dan cenderamata kepada pemenang pertandingan sempena Sambutan Awal Tahun Baharu 1442 Hijrah.

Beliau turut menceritakan mengenai peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan bagaimana kaum muhajirin sanggup setia bersama Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan diseksa dan miskin, malah semakin bertambah ilmu mereka kerana bersama dengan Rasulullah SAW.

Majlis sambutan turut diselajurkan dengan pertandingan Hayya bi adda'wah peringkat akhir yang mana tempat pertama disandang oleh Awang Muhammad Zawawi @ Muhammad Syahmi bin Haji Abdul Majid, mahasiswa program Sarjana Muda Perguruan Ugama Tahun 1 yang menyampaikan pidato bertajuk 'Dakwah Rasulullah'.

Hadiah dan cenderamata kepada pemenang disampaikan oleh Ra'es KUPU SB. Majlis diakhiri dengan bacaan doa khas oleh Ketua Exco Keugamaan dan Takmir Surau, MPP KUPU SB, Awang Ahmad Naufal Azizi bin Mohammad Norisham.


(Petikan dari Media Permata, Khamis 2 September 2020 oleh Yusrin Junaidi)



Attachments