Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB BERKONGSI KEGEMBIRAAN SYAWAL

LUMAPAS, Sabtu, 20 Jun. Seramai 11 keluarga terpilih dari Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Tutong menerima sumbangan menerusi Program Mahabah Syawal anjuran Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Semasa ditemui, Penolong Pensyarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Dr. Nazirul Mubin bin Ahad menyatakan bahawa antara objektif program tersebut ialah bagi menyerahkan bantuan berupa makanan asasi dan berkongsi kegembiraan pada bulan Syawal, di samping melibatkan keseluruhan kakitangan Pusat Ilmu Teras dalam aktiviti yang berkebajikan tersebut. 

syawal01.png

TENAGA Akademik, Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Haji Manan bin Haji Osman semasa menyerahkan sumbangan kepada Dayang Sihar binti Hidup di Kampung Lumapas 'B'.

Di Daerah Brunei dan Muara, Program Mahabah Syawal menziarahi Dayang Sihar binti Hidup, di Kampung Lumapas 'B' dan dua buah rumah lagi, di Jalan Kota Batu, iaitu kediaman Awang Kamarulamirin Fitri bin Haji Samsudin, di Kampung Dato Gandi dan kediaman Dayang Norasnita binti Haji Yahya, yang terletak di Kampung Pelambaian, Jalan Kota Batu.

syawal02.png

TIMBALAN Dekan Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB, Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah (kiri) semasa menyerahkan sumbangan kepada Dayang Norasnita binti Haji Yahya di Kampung Pelambaian, Jalan Kota Batu.

Hadir bagi menyempurnakan pengagihan sumbangan tersebut, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB, Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah dan Tenaga Akademik, Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Haji Manan bin Haji Osman bersama 16 pelajar KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 22 Jun 2020 | Berita dan Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi)


Attachments