Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BIHAS 2 MEMPERKASA POTENSI PRODUK HALAL BORNEO

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 November. - Sejurus menyempurnakan perasmian KAIB XII, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta paduka-paduka anakanda baginda dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran The 2nd Borneo International Halal Showcase (BIHAS Ke-2) di ruang legar Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tertarik dengan salah satu produk yang diusahakan oleh pengusaha tempatan (kiri). Sementara gambar atas, baginda berkenan menyaksikan pelbagai produk makanan yang dipamerkan di BIHAS Ke-2.

Sejumlah 56 pengusaha (vendors) menyertai BIHAS Ke-2 kali ini yang terdiri daripada 21 peniaga tempatan, 16 dan 14 pengusaha dari Sabah dan Sarawak serta tiga dari Indonesia sementara dua pengusaha dari Institut Pengajian Tinggi.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima penerangan ringkas mengenai produk-produk yang dipamerkan oleh para pengusaha dari Sarawak, Malaysia.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lain berkesempatan menyaksikan secara lebih dekat produk-produk yang ditawarkan sepanjang BIHAS Ke-2 berlangsung sebagai satu platform bagi menyatukan usahawan dan pengeluar produk halal di Borneo iaitu Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia di sini.


KEBAWAH DYMM dan paduka-paduka anakanda baginda berkenan menyaksikan pelbagai produk yang dipamerkan oleh para pengusaha tempatan dan para pengusaha dari Sabah dan Sarawak juga Indonesia dan dua pengusaha dari Institut Pengajian Tinggi (atas dan bawah).


Setentunya BIHAS Ke-2 ini mampu mempromosikan produk halal di rantau Borneo seterusnya ke mata dunia seperti produk makanan, minuman, kosmetik, farmaseutikal, perkhidmatan, pelancong, kewangan, kesihatan, fesyen tekstil, bioteknologi dan herba.

Selain itu, BIHAS juga merupakan program berterusan dalam memperkasa potensi produk halal Borneo di peringkat global di mana ini merupakan kali kedua diadakan seiring dengan penganjuran Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-12 (KAIB XII) oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima penerangan ringkas mengenai pelbagai produk yang dipamerkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan dan luar negara di The 2nd Borneo International Halal Showcase (BIHAS Ke-2) (kanan dan kiri).

Pengerusi Eksekutif Majlis Perniagaan BIMP-EAGA Negara Brunei Darussalam, Pengiran Haji Yura Kesteria bin Pengiran Setia Negara Pengiran Haji Mohd Yusuf ketika ditemui antara lain berpendapat Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) kita mesti proaktif dan progresif dari segi pandangan dan kemahuan.

Terdapat banyak platform perniagaan bagi para usahawan tempatan terutamanya pengusaha muda dan baru mula berkecimpung dengan menggunakan inisiatif seperti pemasaran rangkaian atau media sosial untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Kedua, tenaga kerja muda kita mesti mempunyai pelbagai kemahiran dan sentiasa mencari peluang yang terdapat di sekitar dan di hadapan mereka.

Pengiran Haji Yura Kesteria seterusnya menyatakan Wawasan Brunei 2035 bermakna masyarakat kita akan lebih maju begitu juga perkembangan sosial dan ekonomi kita. Lebih-lebih lagi Industri 4.0 memerlukan orang yang mempunyai kemahiran komputer dan berkeupayaan untuk mengendalikan dan mengurus mesin dan sumber-sumber dengan cekap.

Tegasnya, jadi bersiap sedialah untuk menerima cabaran-cabaran baharu sama ada dalam dan luar masyarakat kita.

Beliau juga menjelaskan mengenai pemindahan ibu kota baharu di kawasan Borneo seperti yang diumumkan oleh Presiden Indonesia baru-baru ini dan justeru itu, kita sewajarnya melihat peluang perniagaan di Sub-rantau BIMP EAGA itu kerana lebih ramai orang dan perniagaan di seluruh dunia akan melihat bagaimana mereka dapat menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan Kalimantan dan Indonesia secara umumnya.

Oleh yang demikian tambahnya, orang sekarang mula mengetahui dan menyedari betapa pentingnya kawasan ini berikutan banyak potensi yang ada dari segi sumber semula jadi dan bahan mentah yang tidak dibangunkan sepenuhnya dan masih belum diterokai.

Oleh itu, Wawasan Brunei 2035 dapat dicapai selaras dengan pembangunan ibu kota Indonesia yang baharu dan ke arah itu, belia kita mesti bangun sekarang dan proaktif untuk merebut peluang-peluang tersebut.


BAGINDA tertarik dengan pelbagai produk yang dipamerkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan dan tiga negara lain, iaitu Sarawak, Sabah dan Republik Indonesia di BIHAS Ke-2 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


PENGURUS Syarikat Hazeeyah Agro Farm, Dayang Nur Haziyah binti Abdul Rahman (kanan) yang mengusahakan telur masin dari Kampung Batang Duri, Temburong ketika menyertai BIHAS Ke-2 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Salah seorang peserta BIHAS Ke-2, DayangNur Haziyah binti Abdul Rahman semasa ditemui berkata, pameran tersebut dapat menyokong lagi perusahaan terutama pengusaha-pengusaha PKS dalam memajukan perniagaan di samping menggalakkan orang kitani berbelanja di negara sendiri.

Pengurus Syarikat Hazeeyah Agro Farm yang mengusahakan telur masin dari Kampung Batang Duri, Temburong yang kini kian mendapat sambutan dan permintaan masyarakat kita berharap agar program seumpama ini diteruskan dan dipergiatkan dalam sama-sama menjana pendapatan dan kemajuan para PKS di negara ini ke arah merealisasikan Wawasan Negara nanti.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia bersama paduka-paduka anakanda baginda, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik berkenan menyaksikan pameran salah sebuah Persatuan pada BIHAS Ke-2.

Apa yang diharapkan dengan platform program seumpama ini akan mampu memperkasa potensi produk halal Borneo melalui para PKS untuk mengembang majukan perusahaan masing-masing ke peringkat global.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 14 Disember 2019 oleh Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)

Attachments