Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KAIB XII,WADAH PERBINCANGAN DAKWAH ISLAMIAH

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Disember. - Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-12 (KAIB XII) menjadi satu wadah perbincangan mengenai perkara-perkara berkaitan dengan dakwah islamiah serta isu-isu lain yang berkaitan dengan Islam di Borneo selain untuk mengumpulkan bahan atau karya ilmiah yang berkaitan dengan memperkasakan ummah yang unggul bertunjangkan ilmu dan amal untuk menjadi rujukan pada masa hadapan.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama paduka-paduka anakanda baginda, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik berkenan berangkat di Pusat Persidangan Antarabangsa bagi Majlis Perasmian KAIB XII dan BIHAS Ke-2 (kanan dan kiri)

Perasmian KAIB XII anjuran bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Islam Borneo, Universiti Teknologi Mara Sarawak, Malaysia lebih bermakna apabila disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas hari ini.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama paduka-paduka anakanda baginda berkenan berangkat ke Majlis Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-12 (KAIB XII) dan BIHAS Ke-2 anjuran bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Islam Borneo, Universiti Teknologi Mara Sarawak, Malaysia di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik.

Keberangkatan Kebawah DYMM dan paduka-paduka anakanda baginda dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Penaung Jawatankuasa Tertinggi KAIB XII, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak selaku Menteri bertanggungjawab Hal Ehwal Islam Sarawak, Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi, juga selaku Ahli Jawatankuasa Tertinggi KAIB, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, selaku Ahli Jawatankuasa Tertinggi KAIB, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi majlis yang lain.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menandatangani buku lembaran pada KAIB XII dan BIHAS Ke-2.

Sejurus ketibaan di Dewan Plenary, majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang juga menyampaikan Ceramah Perdana bertajuk 'Ilmu dan Amal Penentu Kebitaraan Ummah'.

Pada majlis berkenaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah bersempena perasmian KAIB XII.

Terdahulu Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan Konferensi Islam Borneo yang sudah dianjurkan berkali-kali ini antaranya tiga kali di Negara Brunei Darussalam adalah dalam parameter mendukung dan memelihara keamanan serta kesentosaan dalam keberagamaan itu.


MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menyembahkan ucapan alu-aluan.

''Yakni kita umat Islam rakyat dan penduduk wilayah-wilayah Borneo adalah menjadikan usaha mencapai kemajuan kehidupan duniawi dan ukhrawi sebagai pemangkin keamanan dan keharmonian demi kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di ketiga-tiga wilayah Borneo dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan tiga negara berjiran, Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Republik Indonesia,'' jelasnya.

Dan dengan yakin kita menyatakan, tambah Yang Berhormat bahawa pendekatan ini adalah selaras dan tepat dengan tuntutan ugama Islam antaranya melalui firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Hajj ayat 41 dan ia membawa pengertian bahawa apabila umat Islam itu kukuh kedudukan mereka, iaitu selamat dan aman, maju jaya-mereka dan kepimpinan mereka melaksanakan tuntutan-tuntutan ugama, berbuat kebaikan, memimpin ke arah keamanan dan kesejahteraan yang meliputi sekalian penduduk termasuklah yang berlainan puak bangsa dan amalan tradisi serta pegangan ugama.

Jelasnya, yang sedemikian itu adalah antara sifat ugama Islam, umat dan kepimpinannya yang sangat signifikan dengan menjadi rahmatan lil'alamin.


BACAAN Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (kanan). Sementara gambar kiri, para jemputan yang hadir sama-sama menadah tangan ketika doa dibacakan bagi memberkati majlis.

''Dengan semangat itulah Negara Brunei Darussalam melalui dua buah institusi pengajian tingginya - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengambil peranan aktif dalam menjayakan Konferensi Antarabangsa Islam Borneo, terutama dengan menjadikan Brunei tuan rumah pada tahun 2012 dan tahun 2019 ini diungkayahkan oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan pada tahun 2016 diungkayahkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali,'' ujarnya lagi.


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama paduka-paduka anakanda baginda berkenan bergambar ramai bersama dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu KAIB XII dan BIHAS Ke-2, 2019 sejurus sebelum berangkat meninggalkan majlis.

KAIB XII dengan tema utama 'Ilmu dan amalan penentu kebitaraan Ummah' juga diharapkan dapat mengumpulkan hasil tulisan yang berkaitan dengan manuskrip nusantara, khususnya kepulauan Borneo dan melalui 12 sub-tema perbincangan, iaitu tajuk-tajuk berkaitan dengan ilmu dan amal, Sains Sosial dan politik, pendidikan, tamadun dan manuskrip, dakwah, halal, zakat dan wakaf, pedagogi pendidikan Islam, ko-kurikulum, media elektronik, sukan / riadah dan pemikiran.


PARA peserta KAIB XII dari negara jiran Sarawak, Malaysia gembira berpeluang beramah mesra dan menatap lebih dekat lagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (kanan). Sementara gambar kiri, baginda berkenan menyaksikan salah satu produk yang dipamerkan oleh peserta BIHAS Kali Ke-2 dari Sabah, Malaysia.


MAJLIS Perasmian KAIB XII dihadiri oleh ribuan tetamu dari dalam dan luar negara (kiri). Sementara gambar kanan, persembahan Marhaban menyerikan suasana pada majlis tersebut.

Selain itu, sebuah kertas perdana, tiga kertas ucaptama serta sebanyak 82 kertas kerja dibentangkan sepanjang dua hari konferensi bersidang.

Sebelum berangkat balik, Kebawah DYMM dan kerabat diraja dijunjung bagi bergambar ramai bersama dengan ahli-ahli jawatankuasa pandu KAIB XII dan BIHAS Ke-2, 2019.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 14 Disember 2019 oleh Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim; Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)

Attachments