Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KONGSI PELAKSANAAN FALSAFAH PENDIDIKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 November. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Persatuan Consortium of Asia Pacific Education University (CAPEU) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru 2019 (The International Conference on Teacher Education 2019 - ICOTE 2019). 

Perasmian persidangan bertempat di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Dekan Fakulti Pendidikan, Profesor Madya Dr. Muhamad Zahiri bin Awang Mat selaku Pengarah Persidangan ICOTE 2019 dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, faktor utama KUPU SB menganjurkan persidangan itu adalah bagi sama-sama mengambil bahagian dalam institusi pengajian, kementerian dan agensi lain bagi meningkatkan kualiti pendidikan guru berasaskan pandangan dan falsafah pendidikan dan perguruan yang lebih meluas.


TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar (empat, kanan) semasa hadir pada Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru 2019.

Penganjuran ini juga, katanya, selari dengan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam meningkatkan pemahaman ilmu dalam pendidikan dan profesionalisme perguruan.

Jelasnya, persidangan selama dua hari tersebut berjaya mengumpulkan 39 kertas kerja dari pelbagai negara. Kertas kerja tersebut sama ada berbentuk kertas kerja konsep dan juga dapatan penyelidikan dan kajian bersifat empirikal dalam bahasa Melayu, Arab dan Inggeris serta tiga kertas kerja utama yang berkaitan dengan falsafah pendidikan, falsafah kurikulum dan nilai pengajian tinggi Islam bagi masyarakat bukan Islam, yang akan disampaikan oleh pakar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing menjadi asas kepada persidangan ini.

Dalam Era Revolusi Industri 4.0 ini, Profesor Madya Dr. Muhamad Zahiri yakin perbincangan tentang falsafah pendidikan tetap relevan dan diperlukan dalam membentuk kerangka ilmu, kurikulum dan profesionalisme perguruan.


TIMBALAN Rektor Perhubungan Antarabangsa dan Alumni, Universiti Fatoni, Thailand, Profesor Madya Dr. Shukree Langputeh membentangkan Kertas Utama I.

Majlis diteruskan dengan pembentangan Kertas Utama I disampaikan oleh Timbalan Rektor Perhubungan Antarabangsa dan Alumni, Universiti Fatoni, Thailand, Profesor Madya Dr. Shukree Langputeh antara lain menyampaikan Institusi Pengajian Tinggi di Thailand memainkan peranan penting dalam membentuk nilai pendidikan kebangsaan. Kedua-dua institusi awam dan swasta di seluruh negara diwajibkan berada di bawah satu pensyaratan dan peraturan dalam mempromosikan agenda pendidikan tinggi negara dan menghasilkan platform masa depan dan modal insan ke arah Revolusi Industri 4.0 sebagai Thailand 4.0.

Kertas kerjanya bertajuk 'Towards Enhancing Islamic Higher Educational Values in Non-Muslim Societies : A Rabbani Campus of Fatoni University in Thailand' juga mengetengahkan nilai pendidikan Islam pada peringkat pendidikan tinggi telah diperkenalkan kepada platform akademik dengan mengiktiraf persepaduan kurikulum Islam ke dalam sistem pendidikan arus perdana. Program sains berorientasikan Islam seperti Syariah, Usuluddin Da'wah dan lainnya telah diluluskan dan yang disahkan oleh Kementerian Pendidikan dan graduan mereka telah direkrut dengan baik dalam sistem kebangsaan tersebut.

Persidangan bersempena dengan Majlis Konvokesyen Keempat KUPU SB anjuran bersama KUPU SB dan CAPEU Kali Kedua ini bertemakan 'Falsafah Pendidikan Pemangkin Pembangunan Pendidikan Abad Ke-21', membincangkan sebanyak 16 sub-tema sepanjang dua hari ia berlangsung dan diharapkan dapat memberi fokus kepada perbincangan mengenai falsafah pendidikan dan kurikulum pada peringkat antarabangsa dan institusi di negara Asia Pasifik.

Objektif persidangan antaranya untuk meninjau perkembangan falsafah pendidikan di rantau Asia Pasifik dan seterusnya untuk perkongsian tentang pelaksanaan falsafah pendidikan dalam Islam dalam sistem pendidikan negara di Asia Pasifik. Selain itu, persidangan diharapkan dapat membantu dalam menerokai peluang kerjasama penyelidikan dalam bidang falsafah pendidikan dan kurikulum dalam kalangan universiti-universiti ahli CAPEU.

Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Abang Haji Taha; Pemangku Penolong Ra'es, KUPU SB Dr. Datin Hajah Noor Kasih binti Haji Noor Kaseh serta perwakilan dari Institusi Pengajian Tinggi, pegawai-pegawai Utama Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai utama, pensyarah-pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, 13 November 2019 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi )

Attachments