Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PERSIDANGAN CAPAI 12 RESOLUSI

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 November. - Sebanyak 12 resolusi disepakati pada Persidangan Antarabangsa Libat Sama Universiti-Komuniti Ke-6 yang telah berlangsung selama dua hari anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D'Seni, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penutupan rasmi persidangan tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Majlis Penutup Persidangan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Asmaa al-Husnaa beramai-ramai dan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' manakala Doa Selamat dipimpin oleh Penolong Pensyarah KUPU SB, Awang Hilman bin Haji Salim.

Pada majlis tersebut, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Yang Berusaha Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan juga selaku Pengerusi Bersama Majlis turut menyampaikan ucapan alu-aluan.

Majlis diteruskan dengan pembentangan resolusi persidangan yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Noor Shah bin Sa'ad daripada KUPU SB.


TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar (kiri) hadir selaku tetamu kehormat pada NIKMAT penutupan rasmi persidangan tersebut.

Beberapa cadangan resolusi yang telah disepakati bersama antaranya adalah membangun usaha gabungan dari institusi dan negara yang berbeza; Kursus yang melibatkan industri atau penempatan kerja, latihan, amalan profesional atau program pertukaran sebagai sebahagian daripada kurikulum; Penglibatan universiti-komuniti harus mempunyai tujuan dalam menggerakkan dan menggabungkan pengetahuan universiti dan pengalaman masyarakat untuk menangani kelemahan sosial dan pengecualian untuk mempromosikan idea masyarakat yang adil; merancang program atau projek yang berkesan dengan penggunaan model keterlibatan masyarakat (CEM); Kerjasama antara institusi tinggi, agensi kerajaan dan industri untuk memperkasakan komuniti dan perkongsian maklumat dan pendidikan adalah teras untuk perkongsian pengetahuan dan bergerak ke arah mewujudkan kemahiran kompetensi seperti pemikiran kritikal, pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah yang rumit.

Dokumen resolusi diserahkan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar kepada tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom dan seterusnya diserahkan kepada Naib Canselor USM, Yang Berusaha Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan juga selaku Presiden APUCEN.

Dalam Majlis Penutup tersebut juga diumumkan penganjuran Persidangan UCEC Ke-7 yang akan diadakan di San Pedro College, Davao City, Filipina pada tahun 2021.

Persidangan antarabangsa dua hari tersebut dihadiri oleh seramai lebih daripada 200 peserta dalam dan luar negara termasuk pegawai-pegawai dan kakitangan beberapa kementerian, pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi tempatan serta penyertaan negara luar termasuk Filipina, Indonesia, Jepun, Jerman, Malaysia, Thailand dan Viet Nam.

Persidangan UCEC Ke-6 ini diadakan dengan bermatlamat bagi mewujudkan satu platform perbincangan dan perkongsian pengalaman pelaksanaan libat sama universiti komuniti terutama kaedah pendekatan yang bersesuaian dalam konteks negara masing-masing. Selain itu, ia diharapkan dapat memperkukuhkan peranan sebuah universiti sebagai ejen pengubah ke arah peningkatan dan kesejahteraan taraf hidup sosial dan ekonomi komuniti.

Penganjuran persidangan ini bertujuan untuk menggalakkan kerjasama penyelidikan dalam situasi ilmiah dan profesional yang mempunyai kepentingan dalam libat sama universiti-komuniti serta pendedahan kepada pelbagai konsep dan kajian empiris mengenai teknik, strategi pengurusan dan amalan terbaik libat sama universiti komuniti dan industri perniagaan secara mikro dan makro. Penganjuran persidangan peringkat antarabangsa ini juga menepati dengan matlamat KUPU SB untuk menjadikan universiti ini pusat kecemerlangan akademik.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Abang Haji Taha dan Pemangku Penolong Ra'es, KUPU SB, Dr. Datin Hajah Noor Kasih binti Haji Noor Kaseh, pegawai - pegawai utama Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai utama KUPU SB dan USM, pensyarah-penyarah, mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, 6 November 2019 oleh Kolej Universiti Perguruan Ugana Seri Begawan)

Attachments