Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB BERUSAHA KEMBANGKAN PERANAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi perguruan agama di Negara Brunei Darussalam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) sentiasa berusaha untuk mengembangkan peranannya dalam memartabatkan bidang perguruan dan pendidikan Islam bukan sahaja di dalam negeri malah juga pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Sehubungan itu sebagai tanda persahabatan yang erat, baru-baru ini, KUPU SB telah diberikan penghormatan bagi menyampaikan ucapan hormat dan penghargaan dalam Majlis Gemilang Rapat Terbuka Senat, Wisuda ke-62, Universitas Islam Malang (UNISMA) yang turut dihadiri oleh rekor, ahli senat dan kepimpinan universiti tersebut.

Ra'es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang hadir bagi pihak KUPU SB dalam ucapan beliau menyampaikan penghargaan kepada kepimpinan UNISMA atas kejayaan yang cemerlang membawa UNISMA berkembang dalam pelbagai aspek.

Selain itu, beliau juga menyampaikan tahniah atas kejayaan graduan menamatkan pengajian mereka dengan nasihat supaya mereka meningkatkan ketakwaan dan kesyukuran dengan menambahkan pengalaman dan mendapatkan cinta Allah Ta'ala melalui pengamalan sunah Rasulullah SAW serta memberikan sumbangan khidmat kepada masyarakat dan umat kerana ilmu yang diperoleh tersebut merupakan amanah yang perlu dilaksanakan.


Dr Haji Adanan ketika menyampaikan ucapannya.

Beliau juga menjelaskan bahawa mendapatkan cinta Allah akan menjamin keredaan hidup di dunia dan akhirat. Majlis tersebut dihadiri oleh 800 graduan yang dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda dalam berbagai-bagai bidang.

Selain itu, Ra'es KUPU SB juga berkesempatan untuk membuat perjumpaan dengan kepimpinan UNISMA bagi pertukaran maklumat dan pengalaman serta membuat perbincangan dalam usaha mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama antara dua buah institusi dalam bidang-bidang akademik dan berkebajikan.

KUPU SB dan UNISMA telah memeterai memorandum persefahaman pada 2018 dan telah bergiat aktif dalam beberapa program akademik dan intelektual termasuk program mobiliti pelajar UNISMA ke KUPU SB dan seminar pelajar pasca siswazah KUPU SB-UNISMA.


(Petikan dari Media Permata, Rabu 30 Oktober 2019 oleh Ak Zaki Kasharan)

Attachments