Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SEMINAR KUKUHKAN KEFAHAMAN AKIDAH UMAT ISLAM

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Ogos. - Seminar Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa 2019 (SEKAPES), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diadakan selama dua hari berakhir hari ini dengan Majlis Penutup seminar yang diadakan di Dewan Tarbiyah, KUPU SB, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar (kanan) menerima Resolusi Seminar dan cenderamata daripada Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Majlis penutup dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan bacaan Al-Asma Al-Husna serta nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' secara beramai.

Majlis kemudiannya diselajurkan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama SEKAPES 2019, Dr. Abdul Rauf Muhammad Amin.

Kemudian, majlis diteruskan dengan pembentangan Resolusi Seminar oleh Ketua Bahagian Kertas Kerja, Perumus & Pelapor SEKAPES 2019, Dr. Haji Matussien bin Haji Jumat dan seterusnya menyerahkan Laporan Resolusi kepada tetamu kehormat yang disampaikan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Terdahulu, Majlis Penutup turut diserikan dengan pembentangan Kertas Perdana IV oleh Profesor Madya Pendidikan Islam, Jabatan Kurikulum & Perkaedahan, Kulliyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Adnan Abdul Rashid dengan tajuk Pengukuhan dan Pemantapan Aqidah Islamiah Dalam Kalangan Umat Islam Masa Kini Bagi Menghadapi Isu dan Cabaran Abad Ke-21'.

Sepanjang seminar selama dua hari, sebanyak 56 kertas kerja dibentangkan.

Tema utama seminar ialah ''Pendidikan Ahli Sunnah Waljama'ah Asas Kemurnian Amalan'' yang kemudiannya dibahagikan kepada sembilan sub-tema utama iaitu Fiqh Ahli Sunnah Waljama'ah: Konsep dan Amalan; Tasawwul Ahli Sunnah Waljama'ah: Konsep dan Amalan; Tarekat dan Amalan Zikir di Negara Brunei Darussalam dan Nusantara; Amalan-amalan Harian Ahli Sunnah Waljama'ah di Negara Brunei Darussalam dan Nusantara; Multimedia dan Cabaran Pemikiran serta Amalan Semasa; Pengalaman Ulama dan Guru dalam Menangani Pemikiran dan Isu Semasa; Pengalaman Institusi dan Agensi Kerajaan Dalam Memperkasa Kefahaman Ahli Sunnah Waljama'ah; Adab-adab Ahli Sunnah Waljama'ah: Asas Pembentukan Keluarga dan Masyarakat serta Pendidikan Ahli Sunnah Waljama'ah Dalam Melahirkan Modal Insan dan Ummah Yang Bertaqwa.


ANTARA yang hadir pada Majlis Penutup Seminar Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa 2019 (SEKAPES).

Antara objektif seminar diadakan ialah bagi mengukuhkan kefahaman akidah dalam kalangan umat Islam masa kini dan seterusnya memperkasa amalan-amalan harian Ahli Sunnah Waljama'ah dalam kalangan umat Islam.

Selain itu, seminar ini diharapkan dalam mengenal pasti isu-isu dan cabaran dalam pendidikan akidah dan mencapai penyelesaian jangka pendek dan panjang dalam menangani fahaman dan pemikiran semasa yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Waljama'ah.

Di samping itu, ia juga dihasrat bagi menyebarluaskan pendidikan akidah dalam masyarakat menerusi karya-karya ilmiah.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 17 Ogos 2019 oleh Aimi Sani)

Attachments