Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BUDAYAKAN TADARUS AL-QURAN BERKELUARGA

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Mei. - Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mewujudkan keluarga sakinah, mawaddah warahmah bagi membentuk sahsiah anak-anak, terutamanya melalui pengukuhan pendidikan Islam.

Ilmu Al-Quran pula merupakan perkara utama yang perlu ditanam dalam hati setiap anak kerana mereka merupakan generasi penerus dan aset masa depan yang akan menentukan kemakmuran dan keharmonian sesebuah keluarga, bahkan sebuah negara.

Menyedari akan kepentingan hal-hal tersebut, Pusat Kajian Fiqh al-Usrah dengan kerjasama Fakulti Usuluddin dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menganjurkan Tadarus Al-Quran Keluarga Kali Ke-2 bersempena Sambutan Nuzul Al-Quran 1440 Hijrah, bertempat di Surau Siswa, KUPU SB.

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah sebagai pembuka tadarus ialah Ra'es, KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Terdahulu, Solat Dhuha Berjemaah diimamkan oleh Profesor Fakulti Usuluddin, Profesor Dr. Ali Syed Abdul Hamedal-Syimi.

RA'ES, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar hadir (kiri) selaku tetamu kehormat dan seterusnya mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah sebagai pembuka tadarus Al-Quran KUPU SB.

Majlis diserikan dengan Tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Usuluddin, KUPU SB, Dr. Mikdar Rusdi dan diakhiri dengan bacaan Doa Khas KUPU SB dan Doa keluarga oleh Guru Ugama Terlatih, Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Haji Manan bin Haji Osman.

Objektif majlis tersebut diadakan antara lain bertujuan bagi membudayakan tadarus dan bacaan Al-Quran dalam kehidupan berkeluarga, di samping meningkatkan ibadah dengan menghadiahkan pahala bacaan kepada ibu bapa dan keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.

Ia juga bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim di antara staf KUPU SB dan keluarga masing-masing dengan penyertaan bersama.

Antara yang hadir, Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Penolong Ra'es KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh; Pegawai-pegawai Utama KUPU SB, para staf akademik dan bukan akademik KUPU SB berserta keluarga.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 27 Mei 2019 oleh Nooratini Haji Abas)


Attachments