Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

BAHAN BANTU MENGAJAR MAHASISWA KUPU SB DIPAMERKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Mac. - Kreativiti dan inovasi merupakan dua dari beberapa kriteria kemahiran yang perlu dimantapkan oleh para guru bagi membolehkan kepelbagaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Justeru itu, kedua-dua elemen ini dapat membantu guru untuk merangsang iklim pengajaran yang lebih ceria dan informatif.

Selain itu, guru juga memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran dan pembelajaran bagi menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.

Dengan mempunyai kemahiran dan kualiti guru sedemikian akan membolehkan pelajarnya menguasai pelbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.

Sehubungan itu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi perguruan ugama yang sentiasa berusaha untuk mencetuskan pendapat, idea-idea baharu dan menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi terutamanya dalam kalangan mahasiswa, Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Unit Pengurusan Rancangan Strategik dan Jaminan Kualiti KUPU SB hari ini telah mengadakan Pameran Inovasi Bahan Bantu Mengajar Pendidikan Ugama yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.

PAMERAN Inovasi Bahan Bantu Mengajar Pendidikan Ugama yang diadakan di Dewan Tarbiyah, KUPU SB

Lebih daripada 50 buah bahan bantu mengajar direka bentuk oleh mahasiswa-mahasiswa Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tahun 2.

Penghasilan bahan bantu mengajar tersebut merupakan salah satu kerja kursus wajib yang perlu dipenuhi mahasiswa dalam Kursus Pedagogi Khas yang ditawarkan oleh Fakulti Pendidikan KUPU SB. Bahan bantu mengajar yang dihasilkan telah dinilai oleh pakar-pakar dan seterusnya dipamerkan.

Objektif pameran antaranya adalah bagi memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada mahasiswa-mahasiswa yang menghasilkan bahan bantu mengajar yang kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, ia diharapkan dapat memberi lebih ruang dan galakan untuk mahasiswa-mahasiswa dalam program perguruan untuk sentiasa kreatif dalam menghasilkan dan menampilkan hasil bahan bantu mengajar untuk dimanfaatkan oleh para pendidikan di sekolah-sekolah nanti.

Pameran juga diserikan dengan Program Nadwah Murabbi bertajuk 'Kaitan Kaedah Pengajaran Dengan Bahan Bantu Mengajar' yang disampaikan oleh tenaga akademik Fakulti Pendidikan, KUPU SB, Profesor Madya Dr. Haji Misnan bin Haji Jemali.

Nadwah juga dihadiri oleh guru-guru pendidikan Islam di bawah Jabatan Pendidikan Islam dan Jabatan Sekolah-sekolah.

Turut hadir ke pameran tersebut ialah pegawai utama dan pensyarah-pensyarah KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei,Isnin 11 Mac 2019)

Attachments