Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

GRADUAN KUPU SB DIRAI

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Seramai 233 orang graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah diraikan pada Majlis Malam Graduan sempena Konvokesyen ke-8 KUPU SB, di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.

Para graduan yang diraikan berkenaan terdiri daripada tiga graduan program Sarjana Perguruan Ugama (Kurikulum), 13 graduan program Sarjana Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), dua daripada program Sarjana Perguruan Ugama (Pengurusan dan Pentadbiran), seorang daripada program Sarjana Perguruan Ugama (Penyeliaan), lima daripada program Sarjana Perguruan Ugama (Sastera Islam), 19 daripada program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, tiga daripada program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Pengajaran Bahasa Arab), 35 daripada program Sarjana Muda Perguruan Ugama Aliran Usuluddin, 75 daripada program Sarjana Muda Perguruan Ugama Aliran Syariah, 12 daripada program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Aliran Usuluddin dan 65 daripada program Sarjana Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Aliran Syariah.

Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan hadiah kepada 20 orang penerima Anugerah Akademik KUPU SB mengikut program dan bidang bagi sesi pengajian 2017/2018.

Majlis juga menyaksikan penandatanganan tujuh memorandum persefahaman dengan beberapa buah universiti iaitu Universiti Tun Hussein Onn, Malaysia; Universiti Teknologi MARA, Malaysia; Kolej Dar Al-Hikmah, Malaysia; Universitas Widya Gama Mahakam, Indonesia; Universitas Islam Malang, Indonesia; Institut Agama Islam Al-Falah Asunniyyah (Inaifas), Indonesia dan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).


Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan anugerah kepada salah seorang graduan.

Menandatangani perjanjian bagi pihak KUPU SB ialah Pemangku Ra'es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis manakala itu, menandatangani bagi universiti-universiti luar berkenaan ialah naib canselor, rektor atau perwakilan universiti luar.

Menurut kenyataan yang diberikan, penandatanganan ini merupakan salah satu bentuk respons bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian pengalaman terbaik antara KUPU SB dengan institusi pengajian tinggi serantau.

Bidang kerjasama tersebut akan meliputi pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran penerbitan, program kerjasama penyelidikan dan pengajaran serta kerjasama dalam mana-mana bidang-bidang yang bermanfaat kepada dua belah pihak.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ar-Rahman Ayat 1 hingga 9 dan Surah Al-'Alaq Ayat 1 hingga 5 beramai-ramai.

Kemudian, Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha menyampaikan ucapan alu-aluan. Majlis juga mendengarkan ucapan wakil graduan Konvokesyen ke-8 KUPU SB dan diselajurkan dengan penyampaian cenderahati dan hadiah pelajar yang mengharumkan nama KUPU SB serta majlis penyampaian wakaf Tarbiyah Graduan Konvokesyen ke-8 KUPU SB 2018.

Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat juga menyampaikan  hadiah-hadiah buku kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam pengajian bagi semester kedua sesi 2017/2018 dan penyampaian cenderahati kepada jemputan khas luar negeri.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan isteri; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan isteri, ahli-ahli Majlis KUPU SB, para jemputan khas,  pegawai utama, pensyarah-pensyarah KUPU SB dan para graduan yang diraikan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.


(Petikan dari Media Permata, Rabu 7 November 2018 oleh Yusrin Junaidi)

Attachments