Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

HARI TERBUKA PUPUK SEMANGAT KERJASAMA

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu,1 September. –Hari Terbuka Program Kokurikulum KUPU SB anjuran Pusat Ilmu Teras, diharap dapat memantapkan lagi minda mahasiswa dan mahasiswi dengan ilmu yang tidak didapati secara langsung melalui pengajaran dan pembelajaran dalam kuliah.

Kepentingan hari terbuka program kokurikulum setaraf kepentingan aktiviti di dalam bilik kuliah, kerana peranannya sebagai pelengkap pada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan itu, perasmian program dua hari disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yusof berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB. 

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yusof (kiri) hadir merasmikan Hari Terbuka Program Kokurikulum KUPU SB.

Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPUSB, Dr.Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata, KUPU SB memperkenalkan lapan program kokurikulum baharu kepada para pelajarnya bagi semua program termasuk Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama dan Ijazah Sarjana Perguruan Ugama.

Jelasnya, program yang dimaksudkan itu antaranya Kemahiran Teras Perguruan Ugama, Pengembangan Potensi Diri, Kemahiran Hayat, Khairat Kemasyarakatan, Pengembangan Intelek, Kesihatan Jasmani, Kepimpinan dan Partisipasi Hari Kebesaran Islam dan Negara.

Selain itu, Dr. Haji Noralizam seterusnya menambah, KUPU SB juga memperkenalkan kokurikulum Satu Semester Satu Nadi (kelab), Satu Semester Satu Riadah (sukan) serta Satu Semester Satu Khairat (khidmat masyarakat).

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang berlangsungnya program berkenaan termasuk 27 petak pameran program kokurikulum dan nadi, jualan, gerai, tayangan video, demo pencak silat, demo memanah, permainan catur, hadrah, tausyeh, pengucapan umum, deklamasi sajak dan lain-lain.

PELBAGAI aktiviti meriahkan Hari Terbuka Kokurikulum KUPU SB 2018 yang diadakan di Dewan Tarbiyah, KUPU SB

Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja memberi peluang dan keseronokan kepada mahasiswa-mahasiswi yang terlibat, tetapi juga menguji dan memantapkan lagi kemahiran dan pengalaman mereka dalam kerja berkumpulan.

Apa yang diharapkan ia dapat memberi kesedaran dan galakan supaya mereka lebih aktif dalam bidang kokurikulum serta bidang kemasyarakatan.

Objektif program adalah bagi menyediakan satu landasan kearah memperagakan aktiviti mereka, serta memberi peluang untuk menunjukkan bakat dalam bidang sukan, persembahan dan keusahawanan.

Selain itu, aktiviti yang dianjurkan juga diharap dapat memupuk semangat bersatu padu berkerja dalam satu kumpulan, sama ada persatuan, kelab atau unit beruniform serta melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berketerampilan, dedikasi serta mampu menjadi pemimpin yang berkaliber.

Turut hadir, Pemangku Ra'es, KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 3 September 2018 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)


Attachments