BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 November. - Seramai 252 bakal graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14 berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir menyemarakkan lagi acara berkenaan yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin Hajah Norazimah binti Haji Ramlee.
YANG Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama hadir menyemarakkan lagi acara berkenaan yang juga memimpin
bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis seterusnya diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh bakal graduan KUPU SB yang dipimpin oleh Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune.
Kemudian majlis disusuli dengan bacaan Takhtim dan disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Awang Mohammad Hafizuddin bin Mohammad Saidin. Manakala Doa Selamat pula dibacakan oleh Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf.
SUASANA Majlis Khatam Al-Quran sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14 berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan (atas dan bawah)
Turut hadir, Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, pegawai dan kakitangan KUPU SB serta para ibu bapa bakal graduan yang diraikan.
Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk menyemarakkan acara-acara bersempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14, di samping menzahirkan rasa syukur atas kejayaan bakal-bakal graduan menamatkan pengajian di KUPU SB.
Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-14 akan berlangsung pada Khamis, 21 November 2024 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 18 November 2024. Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman)