​BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 November.- Dalam usaha untuk memartabatkan penggunaan tulisan Jawi disamping memupuk rasa cinta kepada warisan budaya Melayu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath pagi tadi mengungkayahkan Peraduan Menulis Nama dan Tandatangan Dalam Tulisan Jawi bagi Pelajar-pelajar Sekolah Rendah Negara Brunei Darussalam.
Peraduan yang berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB dihadiri Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Sebanyak 10 hasil karya peserta telah terpilih dan dipertandingkan secara spontan di peringkat akhir, di mana tempat pertama disandang oleh Dayang Nur Hazarena Alyna binti Abdullah dari Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof, Katimahar.
Sementara Awang Md. Khaleel Shareef bin Md. Sahril Rizuan dari Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata Gadong dan Awang Muhammad Adam bin Nayan dari Sekolah Rendah Puni, Temburong masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Pertandingan antara lain bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran serta minat para peserta terhadap tulisan Jawi, di samping dapat memupuk kebolehan para peserta dalam menulis tandatangan menggunakan tulisan Jawi.
RA'ES KUPU SB, Profesor Madya Dr.
Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani
menyampaikan hadiah kepada
pemenang tempat pertama (atas). Sementara gambar bawah,
antara pelajar yang menyertai
peraduan tersebut.
Terdahulu Ra'es KUPU SB, dalam ucapan perasmiannya menekankan inisiatif seumpamanya adalah sangat penting dalam mengukuhkan jati diri Melayu Islam Beraja (MIB) dalam diri pelajar serta akan dapat melahirkan modal insan yang berilmu, berintegriti dan berwawasan demi menjamin kesinambungan serta kemajuan warisan ilmu Islam dalam kehidupan moden hari ini.
Tulisan Jawi juga katanya, merupakan sebahagian daripada warisan budaya kita yang harus kita lestarikan dan wariskan kepada generasi seterusnya.
"Namun apa yang berlaku sekarang, usaha untuk mempertahankan tulisan Jawi ini dilihat semakin berkurang dan sering diabaikan.
"Oleh itu, bertepatan dengan inisiatif menjalankan aktiviti peraduan ini, insyaaAllah sedikit sebanyak akan memupuk rasa cinta kepada warisan budaya Melayu serta memperkasakan kemahiran menulis dan mengenal huruf-huruf Jawi dengan betul dan indah," terangnya.
Peraduan ini juga tambahnya, bukan sahaja bertujuan untuk mengasah kemahiran menulis dalam tulisan Jawi tetapi juga untuk mendekatkan diri kita semua, terutama generasi muda kepada khazanah warisan bangsa yang kaya dan bernilai di samping tulisan Jawi juga adalah satu simbol budaya yang bukan sahaja indah dari segi seni tetapi dipenuhi dengan nilai sejarah yang perlu dipertahankan.
(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 13 November 2024. Oleh : Khartini Hamir Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman​)