Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TANAM PENGHAYATAN KONSEP MIB DALAM KALANGAN PELAJAR

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Oktober.-Program Eksplorasi Melayu Islam Beraja (MIB) yang dikendalikan oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras dan Pusat Bahasa, dihasrat sebagai usaha untuk menanam kefahaman dan penghayatan yang lebih mendalam terhadap konsep MIB di mana ia disasarkan bagi pelajar-pelajar Sekolah Arab senegara.

Program berkenaan dilancarkan hari ini bertempat di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok dimana seramai 270 pelajar Tahun 9 menyertai program berkenaan.

Hadir selaku tetamu khas dan seterusnya melancarkan program berkenaan, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.

Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Haji Md. Syahiran bin Haji Md. Sofian,  selaku Pengerusi Bersama Program dalam ucapannya berkata, generasi belia adalah aset paling berharga dalam pembangunan sesebuah negara. Justeru, penghayatan konsep MIB dalam jiwa belia amat penting untuk memastikan jati diri mereka sebagai warganegara Brunei yang teguh dengan agama, budaya dan kedaulatan institusi diraja.

“Menerusi program seperti ini, kita berharap dapat membekalkan pelajar-pelajar dengan pengetahuan yang mendalam mengenai konsep MIB dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian," ujarnya.

Beliau percaya bahawa pengalaman yang diperoleh para pelajar melalui program ini akan meninggalkan kesan yang mendalam, bukan sahaja dalam aspek pengetahuan, tetapi juga dalam membina jati diri yang kuat dan pada masa yang sama, program ini mampu menyemarakkan rasa cinta kepada raja dan negara, serta ketaatan kepada undang-undang dan norma sosial yang telah menjadi  tunjang negara kita sejak sekian lama.

program MIB1.png

SEKITAR Program Eksplorasi Melayu Islam Beraja (MIB) yang dikendalikan oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras dan Pusat Bahasa (atas dan bawah).

program MIB2.png

Dalam program berkenaan, semua pelajar dibahagikan kepada 27 kumpulan dan diperlukan untuk menyelesaikan 10 checkpoint dalam tempoh yang ditetapkan. Dalam setiap checkpoint, pelajar perlu menyelesaikan soalan atau arahan yang dibentuk dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Antara tema yang terdapat dalam checkpoint berkenaan termasuk konsep MIB, Pembentukan jati diri, penglibatan dalam masyarakat,cintakan raja, cintakan negara dan semangat patriotik, mentaati peraturan dan undang-undang, memelihara khazanah dan warisan negara.

Program antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pelajar berkenaan elemen-elemen MIB menerusi learning through activity dan pada masa yang sama, meningkatkan kemahiran literasi bahasa Arab dengan mengintegrasi kandungan MIB.

Dalam masa yang sama, program eksplorasi berkenaan juga diharapkan dapat mengasah kemahiran berfikir, kemahiran membuat keputusan dan semangat berpasukan. Program berkenaan merupakan pengintegrasian antara kandungan elemen MIB dan bahasa Arab.


(Petkan dari Pelita Brunei, Isnin 7 Oktober 2024. Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman. Foto: Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)


Attachments