​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 September. - Mu'tamar Bahasa Arab Asia Tenggara (Mubasat) Kali Ke-5 anjuran bersama Cambodia University of Management and Technology, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.
Turut diadakan ialah mesyuarat penyelarasan Mubasat Kali Ke-6 bagi Tahun 2025.
Hadir mewakili KUPU SB ke Mu'tamar berkenaan ialah Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Abdul Haji Rani, dan beberapa orang ahli akademik daripada Pusat Bahasa, KUPU SB.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dalam Mu'tamar berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama Kemboja, H.E Dr. Chay Borin, yang seterusnya merasmikan Mu'tamar berkenaan.
RA'ES KUPU SB semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Dalam ucapan selaku ahli jawatankuasa penganjuran Mu'tamar, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir, mengalu-alukan kerjasama berterusan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Kemboja terutamanya dalam bidang pengajaran dan penyebaran bahasa Arab sepertimana yang dilaksanakan dalam Mu'tamar berkenaan.
Selain itu, Profesor Dr. Abdul Nasir turut mengalu-alukan penyertaan para pembentang dalam Mu'tamar berkenaan dan berharap agar Mu'tamar berkenaan boleh memberi manfaat dan penambahan ilmu bidang bahasa Arab.
Seramai 14 pembentang daripada Indonesia, Thailand, Kemboja, Brunei, Malaysia, Viet Nam dan Ukraine membentangkan kertas kerja kajian mereka.
SEKITAR Mu'tamar Bahasa Arab Asia Tenggara (Mubasat) Kali Ke-5 anjuran bersama Cambodia University of Management and Technology, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berlangsung di Phnom Penh, Kemboja (atas dan bawah).
Dengan tema 'Piawaian pengajaran Bahasa Arab di Asia Tenggara : Antara Harapan dan Aspirasi', antara objektif penganjuran Mu'tamar berkenaan termasuk menyediakan wadah perbincangan mengenai perkara berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di NBD dan Asia Tenggara.
Fokus utama perbincangan berkaitan dengan kepentingan membentuk piawaian pengajaran bahasa Arab yang berkualiti dari aspek kurikulum, kemahiran guru, penilaian dan lainnya agar dapat diamalkan di institusi-institusi ahli dan seterusnya memberi manfaat kepada semua yang berkaitan dalam bidang pengajaran dan penyebaran bahasa Arab.
(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 23 September 2024. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan​)