Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

ICOPP 2024 KONGSI KEPENTINGAN PSIKOLOGI, AMALAN PEDAGOGI

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 September. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Psikologi dan Pedagogi (ICoPP) 2024 hari ini, bertempat di Dewan Tarbiah, kolej berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

Dengan tema 'Pedagogi Berkesan Berteraskan Psikologi Holistik', satu kertas perdana dan empat kertas kerja dibentangkan dalam Persidangan berkenaan.

Persidangan dihadiri oleh seramai 350 peserta dalam kalangan guru-guru pendidikan Islam, JPI, ahli akademik dan pelajar KUPU SB, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), persendirian dan peserta luar negara.

Dalam ucapan alu-aluan pengerusi bersama persidangan, Profesor Madya Dr. Shahril bin Ahmad Razimi menjelaskan bahawa antara objektif penganjuran persidangan ICoPP 2024 adalah sebagai wadah bagi para peserta memperoleh pengetahuan terkini dalam bidang psikologi dan pedagogi, termasuk teori, kajian, dan amalan terbaik.

Ini juga bermaksud, dengan adanya perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam kalangan pakar, maka ia merupakan peluang bagi warga pendidik dan pengamal dalam memahami lebih mendalam kepentingan psikologi khususnya psikologi Islam sebagai asas amalan pedagogi berkesan; meningkatkan kesedaran tentang isu-isu terkini dan cabaran dalam pendidikan dan psikologi, serta menggalakkan dialog dan penyelesaian bagi menangani isu-isu tersebut; menyokong dan menggalakkan inovasi dalam pendekatan pedagogi dan intervensi psikologi untuk meningkatkan hasil pembelajaran dan kesejahteraan pelajar.

Pembentangan Perdana disampaikan oleh Dr. Goolam Hussein Rassool daripada Centre of Islamic Studies and Civilisation, SETIAUSAHA Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat pada Persidangan Antarabangsa Psikologi dan Pedagogi (ICoPP) 2024. Charles Stuart University Australia, bertajuk 'Integrating Islamic Psychology into Modern Educational Practices'.

Pembentang menjelaskan bahawa pengintegrasian psikologi Islam ke dalam amalan pendidikan moden, dengan menumpukan kepada penyelarasan antara ilmu Islam klasik dan kaedah pengajaran kontemporari. Jelas beliau, berakar umbi dalam gerakan Islamisasi Ilmu sejak penghujung Abad Ke-20, integrasi ini bertujuan untuk menggabungkan norma etika dan epistemologi psikologi Islam ke dalam kurikulum sedia ada. Pendekatan ini tidak hanya merangkumi perkembangan intelektual tetapi juga pembangunan spiritual dan moral, dengan tujuan untuk mencapai pengalaman pendidikan yang menyeluruh. 

icopp.png

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat pada Persidangan Antarabangsa Psikologi dan Pedagogi (ICoPP) 2024.​

Sementara itu, pembentang ucaptama pertama, Penolong Kanan Profesor dari Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Hajah Salwa binti Dato Seri Setia Haji Mahalle dalam membincangkan tajuk 'Empowering Well Being: Harmonising Holistic Psychology and Pedagogy', manakala Profesor Madya Dr. Mohd Noor bin Saper daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia, selaku pembentang ucaptama kedua membentangkan mengenai 'The Need for Islamic Guidance and Counselling in Addressing Various Social Issues'.

Persidangan diteruskan pada sebelah petang dengan pembentangan ucaptama ketiga iaitu daripada Dr. Alizi Alias, Consultant Organizational Psychologist, Malaysia bertajuk 'Psychology and Islam: Islamisation, Relevantisation and Integration'.

Pembentangan ucaptama keempat pula ialah Profesor Dr. Adi Atmoko daripada Universitas Negeri Malang, Indonesia membincangkan mengenai pembelajaran berbasis Musyawarah: Merajut keragaman untuk mencapai keharmonian dan karakter murid.

Bengkel Psikologi dan Pedagogi 2024 turut diadakan pada Khamis, 5 September 2024 yang disertai oleh kira-kira 125 orang peserta. Dalam bengkel berkenaan, peserta membincangkan mengenai beberapa tajuk modul bersama dengan fasilitator pembentang persidangan termasuk 'The role of Psychology in religious Education', 'Bimbingan dan Kaunseling: pendekatan Tazkiyah An-Nafs : Model dan Pelaksanaan', Integrasi elemen psikologi di dalam silibus Pendidikan Islam, Modul ajar Pendidikan Ugama Islam dan Budi Pekerti dan Guru Yang Dirindui.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 7 September 2024. Siaran Akhbar : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman​)


Attachments