Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB, IAIN PONTIANAK JALIN KERJASAMA AKADEMIK

​BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menjalin kerjasama dengan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak Kalimantan Barat, Indonesia menerusi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU), baru-baru ini. 

MoU berkenaan selaras dengan objektif KUPU SB untuk menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negara berkaitan hal ehwal perguruan, penyelidikan, perkhidmatan dan pengurusan, tenaga akademik dan pelajar. 

Majlis penandatanganan telah berlangsung di Bilik Taqwa, KUPU SB yand dihadiri oleh Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani bagi mengalu-alukan kehadiran rombongan dari Indonesia. 

MoU_Pontianak.jpg

Suasana semasa sesi perbincangan dalam majlis itu. 

Rombongan Indonesia diketuai oleh Rektor IAIN Pontianak, Dr Haji Sharif yang seterusnya menandatangani MoU dengan disaksikan oleh para pegawai utama KUPU SB. 

Penandatanganan MoU tersebut merupakan salah satu bentuk respons bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian pengalaman terbaik antara KUPU SB dengan IPT serantau.  

Dalam sesi perbincangan bersama, antara bidang kerjasama yang dicadangkan meliputi pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran penerbitan, program kerjasama penyelidikan pengajaran dan kerjasama dalam mana-mana bidang yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.


(Petikan dari Media Permata, Jumaat 7 Jun 2024. Oleh Yusrin Junaidi)


Attachments