Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

4 PELAJAR KUPU SB JALANI LATIHAN MENGAJAR DI MALAYSIA

​BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Empat orang mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia kelmarin untuk menjalankan program penempatan latihan mengajar.

Ia sejajar dengan visi KUPU SB iaitu untuk menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi luar negara berkaitan dengan hal ehwal perguruan, penyelidikan, perkhidmatan dan pengurusan tenaga akademik serta pelajar.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengucapkan selamat berlepas ialah Dekan Fakulti Pendidikan, Dr Hajah Norwati binti Haji Abu Bakar. Turut hadir ialah Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan, Awang Ahmad Humaizi binti Haji Samihon.

Program selama dua bulan bermula kelmarin hingga 31 Julai itu merupakan kerjasama KUPU SB dengan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

LM Msia.jpg

Gambar ramai bersama mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB yang akan menjalani penempatan latihan mengajar di Malaysia. 

Mahasiswa dan mahasiswi terpilih ialah Awang Muhammad Zulhusni bin Haji Mohd Suhaini dan Awang Abdul 'Azim bin Laini daripada Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab), serta Dayang Sinnadatul Bibiana binti Ali dan Dayang Siti Noor Azlianawati Nazeelah binti Haji Aliuddin daripada Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam).

Program penetapan latihan mengajar secara resiprokal antara KUPU SB dan UPSI berkenaan diharapkan dapat memberikan pengalaman meluas dan nilai tambah bagi semua mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat khususnya dalam memantapkan lagi kemahiran mengajar termasuk mempelajari pelbagai pedagogi pengajaran terkini daripada salah satu universiti perguruan terkemuka di Malaysia, berkemampuan untuk beradaptasi dengan persekitaran sekolah yang berbeza dan berkemampuan untuk bertindak pantas dalam menyelesaikan isu serta permasalahan yang timbul dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


(Petikan dari Media Permata, Isnin 3 Jun 2024. Oleh Yusrin Junaidi)


Attachments