Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MESYUARAT TELITI SISTEM AKREDITASI AsTEN

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Mesyuarat ketua-ketua Rangkaian Persatuan Pendidikan Guru-guru Asia Tenggara (AsTEN) ke-17 telah bersidang di Institut Pendidikan Nasional, Nanyang Technological University (NTU), Singapura, hari ini, untuk membincangkan mengenai perkembangan terbaharu dalam bidang teknologi dan rancangan strategik pendidikan guru, khususnya di Asia Tenggara.

Hadir bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Abdul Rani selaku Ketua AsTEN.

Turut hadir ialah Penolong Profesor Fakulti Pendidikan, Dr Kharhan bin Haji Jait selaku Focal Person bagi AsTEN-Brunei.

Mesyuarat turut dihadiri oleh rombongan akademik anggota AsTEN dan pengamal penyelidikan pendidikan guru.

Menurut KUPU SB, antara agenda perbincangan dalam mesyuarat berkenaan termasuk penelitian secara mendalam berkenaan sistem akreditasi iaitu AsTEN Teachers Education Quality Assurance Agency (ATQA) untuk menilai kesesuaian program-program pengajian yang ditawarkan di institusi-institusi pengajian tinggi pendidikan perguruan serantau.

ASTEN.png

Gambar semasa mesyuarat tersebut sedang berlangsung di Institut Pendidikan Nasional, NTU, Singapura, kelmarin.

Selain itu, ia juga diadakan bagi mengambil manfaat kepakaran penyelidikan ahli AsTEN untuk pengisian artikel AsTEN Journal of Teacher Education yang bertaraf Scopus.

Turut dibincangkan ialah peluang bagi ahli-ahli AsTEN untuk bekerjasama dalam mengadakan kajian di peringkat ASEAN dan antarabangsa dalam sama-sama menjayakan rancangan The AsTEN Research Agenda 2024-2028: Research for Impact and Sustainability yang sedang berlangsung dalam kalangan ahli AsTEN.

Melalui mesyuarat berkenaan, KUPU SB mengambil inisiatif dalam menilai pelaksanaan sistem akreditasi ATQA khususnya terhadap kursus-kursus program sarjana muda yang ditawarkan di kolej tersebut.

Selain itu, KUPU SB memberikan sokongan padu terhadap peluang kerjasama yang ditawarkan AsTEN dalam bidang penyelidikan, seminar dan perkongsian kepakaran bidang pendidikan guru, yang mana ia turut membuka peluang bagi para akademik KUPU SB untuk memberikan sumbangan kepakaran dan penulisan ilmiah dalam kajian-kajian di peringkat serantau dan seterusnya mengembangkan kemahiran penyelidikan dalam pelbagai bidang pendidikan sejajar dengan petunjuk prestasi utama (KPI) secara khusus bagi pensyarah KUPU SB.


(Petikan dari Media Permata, Selasa 28 Mei Oleh Yusrin Junaidi​)


Attachments