Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BENGKEL PENGHAYATAN DAN PENERAPAN IBADAH SOLAT TUTUP TIRAI

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 April. - Bengkel Penghayatan dan Penerapan Ibadah Solat anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Kajian Fiqh al-Usrah yang diadakan selama dua hari menutup tirainya petang tadi bertempat di Dewan Tarbiah, kolej universiti berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para fasilitator bengkel.

Majlis dihadiri seramai 95 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian-kementerian, Institusi Pengajian Tinggi dan orang-orang persendirian

Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Bengkel, Pengarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, Dr. Haji Sham bin Haji Amin, menjelaskan bahawa merujuk kepada tema bengkel berkenaan iaitu 'Sembahyang Tiang Ugama', demikian hebatnya kedudukannya sembahyang sehingga diumpamakan sebagai tiang ugama menjadikannya ibadah yang paling utama dalam Islam dan yang pertama dihisab di akhirat kelak.

Menurut Dr. Haji Sham lagi, antara faktor orang tidak menunaikan solat termasuk malas atau kurangnya semangat, lemah fikiran (futur) dan bosan.

Amalan meninggalkan solat itu tambahnya, merupakan masalah serius kerana baik buruknya perilaku seseorang sangat dipengaruhi oleh solatnya.

Tambahnya, jika ibadah solat dilakukan dengan penuh kesempurnaan termasuk aspek rukun, syarat dan khusyuk, maka ia akan dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Oleh itu jelasnya, kita perlu sentiasa berusaha untuk konsisten dalam melaksanakan solat sebagai bentuk ketaatan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Justeru, beliau berharap agar dengan penganjuran bengkel berkenaan akan memberikan nilai tambah ilmu yang menjurus kepada praktikaliti kehidupan beragama dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan kepatuhan Maqasid Syariah khususnya dalam berkeluarga.

“Dari institusi keluarga yang menegakkan solat itulah nanti akan melahirkan kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara," katanya lagi.

bengkel_solat1.png

PEMANGKU Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha hadir selaku tetamu kehormat pada Bengkel Penghayatan dan Penerapan Ibadah Solat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para fasilitator bengkel berkenaan (atas dan bawah).

bengkel_solat2.png

Sementara itu, Awang Mohammad Sabry bin Haji Md. Yusof dan Dayang Norahtina Seriyati binti Haji Omar dari Jabatan Sekolahsekolah, Kementerian Pendidikan dalam ucapan bagi pihak peserta bengkel, menyatakan rasa syukur atas penganjuran bengkel berkenaan kerana ia banyak memberi pencerahan yang intensif berkenaan bukan sahaja berkaitan mengerjakan solat sebagai ibadah wajib tetapi keutamaan memasang niat yang sebenar solat, iaitu mengerjakannya kerana Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata.

Bengkel berkenaan juga banyak memberi kesan yang mendalam terhadap para peserta untuk sentiasa mengutamakan solat dalam segala hal kehidupan kerana melaluinya banyak kelebihan, fadilat dan rahsia yang hanya boleh dicapai oleh orang yang mengerjakan dengan ikhlas dan khusyuk.

Antara objektif bengkel berkenaan diadakan adalah bagi meningkatkan motivasi peserta untuk lebih menghayati dan mengambil berat kewajipan mendirikan solat, implikasi kepada kesihatan dan kepentingannya kepada kehidupan berkeluarga seorang Muslim di dunia dan akhirat.

Selain itu, meningkatkan motivasi golongan ibu bapa dan mengongsikan kaedah penerapan pendidikan solat yang elektif dengan matlamat melahirkan keluarga yang sejahtera dan ahlinya berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Islam.

Sebanyak lapan modul bengkel dibentangkan oleh para akademik KUPU SB, iaitu Modul 1 : 'Pensyariatan Solat dan Fadilatnya' disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor Fakulti Usuluddin, Dr. Mikdar Rusdi; Modul 2 : 'Menghalusi Rukun Qauli Dalam Ibadat Solat' oleh Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Abang Hadzmin; Modul 3 : 'Penerapan Solat Sunat Dalam Keluarga' disampaikan oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, Dr. Haji Sham; dan Modul 4 : 'Solat Orang Sakit' oleh Penolong Pensyarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Awang Rahman bin Haji Ajak.

Sementara itu, Modul 5 : '12 Perkara Ke Arah Kesempurnaan Solat' disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Awang Haji Mohd. Syahiran bin Haji Mohd. Sofian; Modul 6 : 'Solat Musafir' diketengahkan oleh Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan; Modul 7 : 'Solat dan Kesihatan Holistik' oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, Dr. Ahmad Yunus bin Kasim; dan Modul 8 : 'Kesan Solat Ke Atas Kerukunan Rumah Tangga' disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Dr. Haji Harapandi bin Dahri.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 24 April 2024. Oleh : Khartini Hamir Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman​)


Attachments