Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PROGRAM NUR RAMADAN 1.0 : BELIA MARDHATILLAH LABUH TIRAI

​BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 1 April. – Program Nur Ramadan 1.0 : Belia Mardhatillah anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Nadi al-Qawi al-Amin di bawah pengendalian Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan dengan kerjasama Belia Imtiyaz Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang bermula pada Jumaat lepas menutup tirainya baru-baru ini dalam majlis penutup bertempat di Masjid YSHHB, Kampung Bolkiah 'A'.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, yang juga turut menyempurnakan pengagihan sumbangan dan penyampaian sijil penghargaan kepada peserta program.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; dan Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin serta Tahlil beramai-ramai.

Majlis dilanjutkan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis, Awang Mohammad Faizal bin Awang Lalim.

Dalam ucapan alu-aluan berkenaan, Pengerusi Majlis menjelaskan bahawa program yang dianjurkan berkenaan bermatlamat untuk meraih keagungan bulan Ramadan dengan melakukan kebajikan berbentuk khidmat masyarakat di samping membentuk belia ke arah ketakwaan dan keredaan Allah.

Selain itu katanya, ia diharap dapat mewujudkan suasana kemesraan beramal ibadah dalam kalangan para peserta belia masjid dan masyarakat kampung demi menyemarakkan lagi amalan secara berjemaah dengan seimbang dalam mengendalikan urusan duniawi dan ukhrawi.

Pengerusi Majlis juga turut meluahkan rasa syukur tidak terhingga dan penghargaan khususnya kepada pihak YSHHB, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan para penyumbang lain yang terlibat atas sumbangan yang dihulurkan bagi menjayakan program penuh bermanfaat berkenaan.

prg nur ramadhan.png

YANG Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat majlis yang juga turut menyempurnakan pengagihan sumbangan dan penyampaian sijil penghargaan kepada peserta program

Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada seramai 30 keluarga yang memerlukan dari Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B' serta penyampaian sijil penghargaan kepada 43 peserta belia antara umur 15 tahun hingga 21 tahun.

Seramai 22 belia dan 21 beliawanis dan Ahli-ahli Jawatankuasa dari Nadi Al-Qawi Al-Amin dan Belia Imtiyaz yang menyertai program yang diadakan selama tiga hari berkenaan.

Anugerah Belia Mardhatillah Terbaik turut disampaikan oleh tetamu kehormat majlis kepada seorang belia dan beliawanis, iaitu Awang Md. Mizam bin Hailulizam; dan Dayang Zuhrina Zafeerah binti Haji Zaini.

Acara ditutup dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan ramah mesra tetamu kehormat majlis bersama para peserta program.

Kemudian acara diteruskan dengan iftar Jama'ie dan menunaikan Solat Maghrib Berjemaah dan diakhiri dengan bergambar ramai.

Terdahulu, pada hari kedua program telah diadakan beberapa kegiatan termasuk Qiyamullail Fardu, Solat Subuh Berjemaah dan Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar serta ceramah motivasi yang disampaikan oleh Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak yang diadakan di Masjid YSHHB.

Acara kemuncak pada hari kedua berkenaan ialah pengagihan sebanyak 250 bubur kacang kepada seramai 50 buah keluarga di Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B'.

Manakala pada hari ketiga pula, antara program yang telah dilaksanakan adalah seperti ceramah motivasi, bengkel Fardu Kifayah, bedah movie dan menulis surat cinta dari hati khusus untuk ibu bapa peserta.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 03 April 2024. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan​)


Attachments