Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PROGRAM MUKHAYYAM ISLAMIY 2.0 TUTUP TIRAI

​BELAIT, Isnin, 25 Mac. - Program Mukhayyam Islamiy 2.0 anjuran bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menutup tirainya baru-baru ini di Kampung Melilas, Daerah Belait.

Program yang diadakan selama dua hari tersebut telah disertai oleh 27 pelajar KUPU SB dan diketuai oleh Dekan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, Profesor Madya Dr. Mohd. Shahril bin Ahmad Razimi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup program berkenaan ialah Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Haji Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan sumbangan kepada 18 buah keluarga peserta mualaf dan ahli jawatankuasa program.

PrgMukhayyamIslamiy1a.png

RA’ES KUPU SB hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Program Mukhayyam Islamiy 2.0 (atas dan bawah). 

PrgMukhayyamIslamiy1b.png

Dalam ucapan tetamu kehormat menjelaskan bahawa aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan adalah sangat diperlukan dalam memastikan Maqasid Al-Syariah iaitu agama, akal, nyawa, keturunan dan harta benda terus terjaga, selain menjadi salah satu kaedah yang berkesan dalam menyampaikan maklumat yang autentik.

Malah Maqasid Al-Syariah juga merupakan pendidikan terbaik kepada saudara-saudara baharu yang menerima hidayah dan memilih Islam sebagai pegangan dan cara hidup yang benar di dunia ke arah memperoleh keredaan Allah Subhanahu Wata'ala di akhirat kelak.

Justeru, tambah tetamu kehormat, Program Mukhayyam Islamiy yang dilaksanakan dengan Program Mukhayyam Islamiy 2.0 tutup tirai kerjasama KUPU SB dan PDI berkenaan adalah perlu terus diperkasakan pada masa-masa akan datang agar dapat dijadikan sebagai wadah komunikasi dan latihan yang efektif kepada masyarakat di luar bandar dan seterusnya sama-sama bergerak membentuk sebuah negara bercirikan Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur.

PrgMukhayyamIslamiy1c.png 

Antara yang hadir.

Antara objektif program diadakan adalah untuk mempraktikkan kursus dalam kuliah khususnya berkaitan dakwah dan pengucapan umum sebagai usaha melahirkan pelajar dan belia bakal pemimpin yang cemerlang berkemahiran dalam berdakwah dan pengucapan umum.

Selain itu, program tersebut diharapkan dapat memupuk kemesraan, ukhuwah dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta dan seterusnya penghayatan rasa Hubbu Ad-Din dalam kalangan mualaf dan juga para ahli.

Antara kegiatan yang dilaksanakan sepanjang program berkenaan termasuk aktiviti bimbingan klinik Al-Fatihah dan wuduk bagi warga kampung, Sembahyang Sunat Tarawih dan Qiyam, aktiviti kembara Sungai Belait, gotong-royong di kawasan rumah panjang dan sembahyang berjemaah.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 27 Mac 2024. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)

Attachments