Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

HARI TERBUKA KUPU SB PELUANG DAPATKAN MAKLUMAT PROGRAM DITAWARKAN

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 Februari. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menawarkan pelbagai bidang program akademik termasuk peringkat program Ijazah Doktor Falsafah, program Sarjana, program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, program Sarjana Muda, program Diploma Tertinggi dan program Diploma pengajian bidang pengkhususan yang diselaraskan oleh empat fakulti utama, iaitu Fakulti Usuluddin; Fakulti Syariah; Fakulti Pendidikan; dan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan.

Sehubungan dengan itu, pagi tadi KUPU SB melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Ilmu Teras menganjurkan Hari Terbuka Studi di KUPU SB 2024 yang bermula hari ini, bertempat di kawasan kampus, kolej universiti berkenaan.

Antara objektif Hari Terbuka berkenaan adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai secara umumnya mengenai KUPU SB sebagai sebuah kolej universiti yang berfokuskan kepada bidang perguruan ugama di Negara Brunei Darussalam.

HAri Terbuka 2024_1.png

RA’ES KUPU SB semasa hadir pada Hari Terbuka Studi di KUPU SB 

Selain itu, ia diharapkan untuk memberi peluang kepada para pelajar secara khususnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai program-program akademik yang ditawarkan di KUPU SB.

Tambahan lagi, ia juga merupakan wadah bagi para mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB untuk mempamerkan kegiatan-kegiatan kokurikulum dan keusahawanan yang dilaksanakan di kolej universiti berkenaan.

Antara pengisian dalam Hari Terbuka berkenaan termasuk pembarigaan dan sesi konsultasi mengenai program dan kursus akademik melalui petak-petak maklumat fakulti dan pusat bertempat di Dewan Tarbiah, KUPU SB.

Selain itu, pameran-pameran kokurikulum termasuk pasukanpasukan beruniform seperti kadet tentera, polis, bomba, pengakap, pandu puteri dan bulan sabit merah yang disertai mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

Pameran nadi-nadi KUPU SB seperti nadi memasak, nadi lakastah ber-MIB, nadi 'Oh My English', nadi Mahabbah Rasulullah, nadi pertanian, nadi rawatan Islam dan lain-lain juga mengambil tempat di Dewan Ta'dib.

HAri Terbuka 2024_2.png

Antara objektif Hari Terbuka berkenaan adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai secara umumnya mengenai KUPU SB sebagai sebuah kolej universiti yang berfokuskan kepada bidang perguruan ugama di Negara Brunei Darussalam.

Juga diadakan ialah bazar jualan oleh mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB serta orang-orang persendirian.

Hari Terbuka Studi di KUPU SB dimulakan dengan Majlis Perasmian oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Adanan bin Haji Basar.

Hadir sama ialah para pegawai utama, pensyarah dan pegawai serta kakitangan KUPU SB.

Penawaran program akademik di kolej universiti berkenaan juga turut disokong oleh enam pusat termasuk Pusat Bahasa, Pusat Ilmu Teras, Pusat Pengajian Lepas Ijazah dan Penyelidikan, Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath serta Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah.

Selain itu, antara tawaran program akademik lainnya ialah penawaran kursus-kursus minor dan program berkembar bagi mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB dalam program Sarjana Muda.

Pendaftaran bagi kemasukan ke KUPU SB Sesi 2024/2025 akan dibukakan, bermula pada 19 Februari hingga 16 Mac 2024 melalui pautan pendaftaran yang boleh diperoleh di laman sesawang KUPU SB.

Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai program dan aktiviti KUPU SB boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi KUPU SB di www.kupu-sb.edu. bn, Instagram rasmi KUPU SB, @official_kupusb dan Facebook KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 19 Februari 2024. Oleh : Khartini Hamir Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman​)


Attachments