Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

HARI KEUSAHAWANAN KUPU SB : PUPUK MINAT BERNIAGA

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Oktober. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah mengungkayahkan Hari Keusahawanan KUPU SB selama dua hari, bermula hari ini hingga Ahad, 29 Oktober 2023 bertempat di kawasan kolej universiti berkenaan.

Hadir pada majlis perasmian Hari Keusahawanan KUPU SB selaku tetamu khas ialah Ahli Majlis KUPU SB, Dato Paduka Dr. Haji Ismail bin Haji Duraman.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian tersebut ialah Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha; pegawai-pegawai utama, pensyarah-pensyarah dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.

HKeusahawanan23ia.png

AHLI Majlis KUPU SB, Dato Paduka Dr. Haji Ismail bin Haji Duraman hadir pada Majlis Perasmian Hari Keusahawanan KUPU SB selaku tetamu khas 

HKeusahawanan23ib.png

Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Exco Keugamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB, Awang Mohd Hafizuddin bin Mohd Saldin.

Majlis diteruskan dengan bacaan Asmaul Husna dan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah peliharakan Sultan'.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar selaku pengerusi Hari Keusahawanan KUPU SB, antara lain menjelaskan bahawa antara objektif penganjuran adalah untuk memupuk minat berniaga dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB, memupuk semangat kerjasama serta pemikiran yang kreatif dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi, menerapkan nilai-nilai keusahawanan agar pelajar mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan negara, memberikan peluang kepada pengusaha dan peniaga dalam kalangan belia untuk berniaga dan memperkenalkan produk mereka.

Jelasnya, Islam amat memandang tinggi terhadap mereka yang terlibat dalam bidang keusahawanan dan menjadikannya sumber rezeki yang utama.

''Bidang keusahawanan dalam perspektif Islam termasuk dalam ilmu Fardhu Kifayah yang mana ianya bererti tanggungjawab usahawanan amat besar kerana ia merupakan suatu kewajipan menjadikan keusahawanan sebagai menunaikan kewajipan ugama.

''Ia juga adalah merupakan ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan melaksanakan sunnah Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat baginda,'' terangnya.

Perkara ini katanya, tidak akan tercapai melainkan jika dilaksanakan dengan niat yang soleh dan amalan usahawan itu hendaklah berakhlak mulia di dalam urusan pengusahaan seperti yang telah diberi teladan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.  .

Para usahawan tegasnya, hendaklah jujur, amanah dan berakhlak mulia di dalam menjalankan pengusahaannya agar diberikan ganjaran yang besar, dimuliakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mempunyai martabat tinggi di sisinya.

HKeusahawanan23ic.png

ANTARA yang hadir pada Majlis Perasmian Hari Keusahawanan KUPU SB.

Majlis diselajurkan dengan ucapan Perasmian Hari Keusahawanan 2023 oleh tetamu khas majlis

Turut diadakan ialah Forum Keusahawanan 2023 bertajuk 'Memperkasa Keusahawanan Belia Ke Arah Merealisasikan Wawasan 2035' yang dimudah cara oleh Dr. Haji Noralizam, sekali gus dibincangkan bersama oleh Pengurus Syariah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Muhammad Takzimallah bin Haji Ahmad Sanuddin; Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan; Managing Director The Learner's Bar, Awang Muhammad Ridhwan Hanafi bin Haji Zaini; dan Pengasas Bersama Sudut Space, Dayang Siti Nur Syahmina binti Haji Zaini.

Turut diadakan ialah kira-kira 50 petak jualan dan pameran merangkumi jualan makanan dan minuman, barangan dan pakaian yang disertai oleh warga KUPU SB dan peniaga serta pengusaha luar KUPU SB.

Juga menyertai pameran dan promosi ialah nadi-nadi KUPU SB seperti Nadi Pertanian, Nadi Bahasa Arab dan Nadi al-Qawi al-Amin, juga Al-Huffaz Management dan lain-lain.

Hari Keusahawanan KUPU SB merupakan salah satu program yang termasuk di dalam lapan program kokurikulum yang diperkenalkan kepada para pelajar yang mana program lain termasuk kemahiran teras Perguruan Ugama, pengembangan potensi diri, Kemahiran hayat, khairat kemasyarakatan, pengembangan intelek, kesihatan jasmani, kepimpinan dan partisipasi Hari kebesaran Islam dan Negara.

Orang ramai adalah dijemput dan dialu-alukan untuk datang ke Hari Keusahawanan KUPU SB bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

Orang ramai juga boleh menyumbang kepada Peti Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 yang ada disediakan sepanjang Hari Keusahawanan berkenaan.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 30 Oktober 2023. Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad Foto : Masri Osman​)


Attachments