BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 Ogos. - Dalam era Revolusi Industri 4.0 yang dihidangkan dengan pelbagai teknologi dan keupayaan, maka perlu untuk dimanfaatkan kepelbagaian media komunikasi dan informasi bagi tujuan menyebarluaskan kefahaman Islam kepada manusia.
Ini kerana, misi untuk meneruskan tugas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam setelah kewafatan Baginda dalam menyebarkan dakwah terletak kepada umatnya.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan berucap demikian semasa Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), pagi tadi.
Justeru itu, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka berpendapat bahawa sebarang usaha sama ada dalam bentuk seminar atau apa jua program ke arah 'Memperkasa kualiti da'ie' adalah sangat dialu-alukan dan ia perlu dilaksanakan dengan konsisten dan sistematik.
Menurutnya, keperluan bagi program-program pemantapan tersebut adalah kerana tugas da'ie yang profesional adalah memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan, keterampilan yang elok, pengendalian bertutur dengan baik, benar, lembut, efektif dan efisien, mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat dan yang penting memiliki kematangan psikologi dan spiritual.
Kesantunan dan kebijaksanaan ini akan mencipta mad'u atau sasaran dakwah yang menerima apa yang disampaikan.
YANG Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama berucap pada Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin.
Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka menyarankan supaya meletakkan kerangka atau agenda bagi memastikan profesion yang akan dimiliki para bakal da'ie adalah kompetensi-kompetensi termasuk pengintegrasian antara ilmu-ilmu umum dan ilmu-ilmu agama ke dalam disiplin ilmu dakwah serta ilmu keislaman dengan ilmu sosial lainnya yang berfungsi sebagai ilmu bantu dakwah.
''Ilmu-ilmu tersebut perlu difokuskan kepada memperkaya dan memperdalam keilmuan dakwah agar kehadiran ilmu dakwah sebagai disiplin ilmu dapat diperkukuhkan.
''Selain itu, perlunya usaha berterusan dalam penulisan buku teks tentang ilmu dakwah dengan seluruh ilmu-ilmu yang berkait dengannya, mewujudkan prasarana bagi mengembang latihan kemahiran dakwah seperti makmal dalam kepelbagaian bidang seperti media, kaunseling, jurnalisme, pengurusan dan sebagainya,'' ujarnya.
Langkah ini jelasnya, dilihat dapat mengembangkan kepelbagaian kerjaya dan profesion dakwah ke arah yang lebih signifikan, bukan sahaja sebagai da'ie dalam bentuk penceramah.
Selanjutnya, menjadikan bidang pendidikan dakwah sebagai bahan kajian dalam penyediaan penulisan tesis atau disertasi pelajar di peringkat ijazah lanjutan, agar kurikulum berkaitan dakwah dan keberkesanannya dapat dinilai dari semasa ke semasa serta penambahbaikan.
(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 19 Ogos 2023. Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman)