Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MEMPRAKTIKKAN TARBIYAH ISLAM DALAM KEKELUARGAAN

​BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Mei. - Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2023 (Muafiq23) diadakan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan kepentingan untuk membentuk 'keluarga yang bahagia lagi sempurna'.

Di samping itu, Mu'tamar juga diadakan bagi mempraktikkan Tarbiyah Islam dalam kekeluargaan dengan mencontohi cara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Sham bin Haji Amin dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Perasmian Muafiq23 yang diadakan di Dewan Tarbiah, KUPU SB, di sini.

Dr. Haji Sham yang juga selaku Pengerusi Muafiq23 seterusnya menjelaskan, Mu'tamar juga diadakan dengan objektif memperkasa pendidikan kekeluargaan Islam dalam kalangan umat Islam masa kini.

Di samping itu tambahnya, ia juga bagi mengenal pasti pelbagai isu dan cabaran dalam kehidupan berkeluarga dan mencapai penyelesaian dalam jangka pendek dan jangka panjang ke arah kehidupan berkeluarga yang penuh harmoni, bahagia dan sempurna.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa dipimpin oleh Pegawai Pelajaran KUPU SB, Awang Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, diikuti dengan bacaan Asma Al-Husna dan nyanyian Lagu Kebangsaan beramai-ramai.

Hadir pada Majlis Perasmian Mu'tamar selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, selaku wakil peribadi Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama.

MAFA2.png

PENGARAH Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Sham bin Haji Amin dalam ucapan alu-aluannya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; dan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Dalam pembentangan kertas utama satu bertajuk 'Mengurus Konflik Keluarga dan Kerja Dalam Alaf Baharu Berpandukan Pendekatan Dakwah' yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail dari Jabatan Siasah Syar'iyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya antara lain menyatakan bahawa alaf baharu dikejutkan dengan pandemik dan endemik COVID-19 yang memberi pelbagai impak positif dan negatif kepada seluruh masyarakat dunia.

Tambahnya, impak sama ada positif atau negatif dari sudut ekonomi, kesihatan, pendidikan, hubungan sosial dan kekeluargaan, budaya kerja, emosi dan yang amat penting adalah pegangan dan penghayatan beragama.

Sementara itu, Ra'es KUPU SB dalam kertas utama dua bertajuk 'Pendidikan dan Kurikulum Keluarga sebagai Madrasah Utama' antara lain menjelaskan bahawa dalam membina sebuah keluarga sakinah, mawaddah dan warahmah adalah dengan mengikut sunnah Rasulullah bagi mendapatkan keampunan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala.

MAFA3.png

ANTARA yang hadir pada majlis tersebut.

Jelasnya lagi, antara perkara yang perlu dijadikan amalan khususnya dalam berkeluarga termasuk melazimkan Doa Keluar Rumah bagi memohon perlindungan dari Allah Subhanahu Wata'ala, memberi salam kepada ahli keluarga ketika masuk rumah, membiasakan membaca basmalah dalam semua perkara, melazimkan doa dan zikir harian, amalkan adab berdoa, solat dan makan bersama, mengaji Al-Quran dan mendoakan ahli keluarga untuk sentiasa berbuat kebaikan.

Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2023 diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga Khamis, 18 Mei 2023, dan disertai lebih daripada 200 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian-kementerian dan institusi-institusi pengajian tinggi dengan mengetengahkan empat kertas utama dan 22 kertas kajian dalam pelbagai tajuk berkaitan sub-tema yang ditetapkan.

Dengan tema 'Membina Keluarga Bahagia Bertauladankan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam', dan antara sub-tema yang dikaitkan termasuk Pendidikan Keluarga Islam, Akhlak, Tafsir, Hadis, Aqidah, Teladan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, perundangan Islam dan lain-lain lagi.

Pada sesi petang, Mu'tamar diadakan bagi sesi pembentangan selari, iaitu sebanyak lapan kertas kajian dengan tajuk yang dibentangkan termasuk 'Keluarga Sakinah : Isu, Cabaran dan Penyelesaian di Negara Brunei Darussalam'; 'Motherhood in the 21st Century : Worries and Challenges'; 'Penilaian Modul Kursus Pra-Nikah Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Unit PBRT JAMA'AT, Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam'; 'Right of Divorced Muslim Women In Thailand Under The Muslim Family Law and Law Of Inheritance Code, 1946'; 'Home Based food family business from Halalan Tayyiban Perspectives: Past and Future'; 'Pengaruh Ibu Bapa Dalam Mentarbiyah Anak-anak Terhadap Pemakanan Halal'; 'Pendidikan Akhlak Dalam Membentuk Sahsiah Anak Menurut Perspektif Abdullah Nasih Ulwan'; dan 'Islamic Education Curriculum Policy At Basic Education Level (comparation study between Indonesia and Brunei Darussalam)'.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 20 Mei 2023. Oleh : Haniza Abdul Latif Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)


Attachments