Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

42 PESERTA BENGKEL KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN ISLAM TERIMA SIJIL

​BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 November. - Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam anjuran Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diadakan selama dua hari telah berakhir hari ini dengan penyampaian sijil pada Majlis Penutup di Dewan Tarbiah kolej berkenan yang disempurnakan oleh Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar kepada seramai 42 peserta bengkel.

Pengerusi Bengkel, Dr. Haji Sham bin Haji Amin dalam ucapan penghargaannya menyampaikan antara objektif bengkel berkenaan diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan kemahiran tarbiah kepada ibu bapa dan juga kanak-kanak menurut Al-Quran dan Sunnah sesuai dengan perkembangan dan peredaran zaman masa kini.

Selain itu, untuk melahirkan ibu bapa yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran dalam mendidik anak-anak secara Islamik sama ada dari sudut teori, praktikal dan spiritual.

Dr. Haji Sham turut menambah, keluarga merupakan satu struktur yang bersifat khusus dan setiap individu yang berada di dalamnya diikat oleh satu ikatan melalui hubungan darah atau pernikahan.

''Perikatan itu membawa kepada wujudnya rasa saling mengharap yang sesuai dengan ajaran agama dan dikukuhkan lagi dengan kekuatan undang-undang serta wujudnya secara peribadi rasa saling mempunyai ikatan batin.

''Mematuhi perikatan kehidupan berkeluarga berpandukan ajaran agama Islam yang sebenar kerana perkahwinan adalah amanah besar yang perlu dipikul oleh setiap individu khususnya pasangan suami isteri,'' katanya.

bengkelpenutupIB.png

RA'ES KUPU SB menyampaikan sijil kepada penerima pada Majlis Penutup di Dewan Tarbiah kolej berkenan.

Dr. Haji Sham seterusnya berharap agar para peserta dapat mempraktikkan dan mengamalkan segala ilmu yang diperoleh dalam kehidupan berkeluarga, para peserta diharapkan akan dapat mempraktikkan dan mengamalkan segala ilmu yang diperoleh dalam kehidupan berkeluarga secara istiqamah dalam membentuk dan melestarikan kebahagiaan rumah tangga yang sakinah, mawaddah, warahmah dan sentiasalah peka akan kehidupan beragama dengan mengamalkan kepatuhan Maqasid Syariah dalam keluarga.

Dari institusi keluarga yang sihat tersebut nanti akan melahirkan kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat, bangsa dan negara.

Sementara itu, Abdul Najib Syazwan bin Shahrani dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam ucapan wakil peserta lelaki menyampaikan bahawa bengkel berkenaan membekalkan pelbagai input yang sangat berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan berumah tangga.

Modul-modul yang disampaikan turut membincangkan mengenai isu-isu semasa dalam kehidupan rumah tangga dan masyarakat secara amnya.

Menurutnya, khusus pada zaman kini yang pesat maju dengan digital aksesibiliti seiring dengan cabaran cabarannya, bengkel tersebut sangat membantu membekalkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam mendidik keluarga.

Pegawai Ugama dari Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Normasuzanah binti Badaruddin selaku wakil peserta wanita menjelaskan bahawa bengkel tersebut menyediakan pelbagai pengajaran termasuk kepentingan bagi para ibu bapa untuk sentiasa menitikberatkan ajaran agama Islam dan mempraktikkan amalan-amalan beragama dengan sepenuh penghayatan sebagai panduan cara hidup berkeluarga kerana dengan akidah, iman yang kukuh dan akhlak yang mulia, segala isu dan permasalahan boleh dihadapi dengan baik.

Selain itu, tambahnya, bengkel tersebut mengajarkan mengenai kepentingan setiap ahli keluarga memainkan peranan dalam membudayakan penjagaan kesihatan mental dan fizikal agar dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian berkeluarga.

Seterusnya, para peserta turut diterangkan mengenai kemahiran memahami pelbagai corak atau gaya asuhan ibu bapa terhadap anak serta impaknya yang positif terhadap pembentukan sahsiah anak-anak.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 16 November 2022. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan​)

Attachments