Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PUPUK PEMIKIRAN KREATIF, NILAI KEUSAHAWANAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 November. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui anjuran bersama Fakulti Syariah dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengungkayahkan Hari Keusahawanan KUPU SB, yang diadakan selama dua hari, bermula hari ini hingga esok, 12 November 2022, di kawasan kolej berkenaan.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi Hari Keusahawanan KUPU SB tersebut, bermula jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi; dan 2.00 petang hingga 4.30 petang, pada Jumaat, manakala jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang, pada Sabtu.

Hari Keusahawanan berkenaan mengetengahkan 65 petak jualan pelbagai aneka makanan, minuman dan produk yang melibatkan para Mahasiswa KUPU SB dan pengusaha luar.

harikeusahawanan1.png

KOLEJ Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui anjuran bersama Fakulti Syariah dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengungkayahkan Hari Keusahawanan KUPU SB (atas dan bawah).

harikeusahawanan1a.png

harikeusahawanan2.png

Juga diadakan, pameran yang disertai oleh pelbagai agensi, termasuk Pusat Da'wah Islamiah, Bank Islam Brunei Darussalam, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Darussalam Holdings Sendirian Berhad, Insurans Islam TAIB, Basmalah Enterprise, Sablis dan Al-Minhaj Centre.

Selain itu, Hari Keusahawanan juga turut dimeriahkan dengan acara-acara pentas, seperti persembahan Tausyeh, hadrah dan sketsa serta sesi perkongsian daripada agensi luar.

Antara matlamat Hari Keusahawanan tersebut adalah bagi memenuhi hasrat KUPU SB, dalam mewujudkan pendidikan yang seimbang dan menyeluruh agar para pelajar boleh menjadi pendidik profesional yang lebih matang serta berdaya saing.

Di samping itu, ia diharap dapat memberi pendedahan mengenai aspek teori dan amalan, terutamanya dari segi keusahawanan agar boleh melengkapkan pelajar menjadi pemimpin serba boleh serta berwawasan.

Objektif lain, termasuk memupuk minat berniaga, semangat bekerjasama dan pemikiran kreatif serta nilai-nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 12 November 2022. Oleh : Marlinawaty Hussin Foto : Hamzah Mohidin​)

Attachments