Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

FORUM KHAS BELIA TAMPILKAN PELBAGAI ASPEK PERBINCANGAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 September. - Majlis Perasmian Bengkel Intensif Belia Syumul Harapan Negara, yang diadakan di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini, diteruskan dengan Forum Khas Belia Syumul Harapan Negara dengan menampilkan tiga ahli panel jemputan.

Semasa dalam forum tersebut, Profesor Madya Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB, Dr. Mohd. Shahril bin Ahmad Razimi menjelaskan bahawa prinsip asas dan utama bagi seorang belia ialah mempunyai akidah yang jelas berdasarkan Ahli Sunnah Waljamaah bermazhabkan Imam Shafi'e dan Tasawuf yang diiktiraf oleh Negara Brunei Darussalam.

Menurut Profesor Madya Dr. Mohd. Shahril lagi, belia pada khususnya perlu mempunyai sifat tabayun terutamanya dalam menerima ilmu dari sumber-sumber yang benar khususnya dari media sosial agar pemikiran tidak dicemari oleh anasir-anasir yang bercanggahan dengan akidah dan nilai Melayu Islam Beraja.

Membahaskan mengenai falsafah Melayu Islam Beraja, Profesor Madya Dr. Mohd. Shahril seterusnya menjelaskan bahawa zaman sekarang melahirkan satu generasi yang perlu disiapkan dengan agenda-agenda tertentu, termasuk memperkukuhkan keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala sebagai prasyarat pertama.

Tambahnya, prasyarat kedua ialah untuk sentiasa memberi sumbangan atau manfaat kepada orang sekeliling dengan memperkasakan ilmu pengetahuan, di samping memantapkan kemahiran insaniah.

Pendekatan baharu untuk belia, jelasnya, agar dapat membantu negara ke tahap yang dibanggakan ialah melalui program intervensi sosial dari belia ke belia.

Masalah yang timbul dalam kalangan belia boleh ditangani oleh belia sendiri untuk mencari penyelesaian terhadap isu dan permasalahan yang dihadapi, tanpa perlu menunggu tindakan daripada pihak kerajaan untuk menyelesaikan.

Seterusnya, beliau menekankan, aspek sosial perlu diperkasakan melalui penglibatan aktif belia dalam khidmat masyarakat sama ada dalam institusi pendidikan, masjid-masjid mahupun dalam peringkat kebangsaan.

Sementara Awang Hilman bin Haji Salim yang merupakan mahasiswa Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Kajian Ahli Sunnah Waljamaah) dan juga Pengasas Bersama Al-Minhaaj Centre menjelaskan, bahawa belia bukan sahaja perlu mempunyai ilmu tetapi juga perlu sentiasa progresif, kreatif dan dinamik sebagai usaha untuk pembangunan negara.

bengkelBelia3.png

BENGKEL Intensif Belia Syumul Harapan Negara, yang diadakan di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diteruskan dengan Forum Khas Belia Syumul Harapan Negara.

Menurutnya, fasa belia merupakan fasa kehidupan yang paling panjang, iaitu fasa pemuda yang mempunyai kekuatan pemikiran dan fizikal.

Belia kreatif bermaksud yang memiliki sikap positif terhadap apa saja kemungkinan dan sentiasa bersedia menghadapi halangan serta mencari penyelesaian.

Beliau seterusnya menegaskan, belia mesti berusaha mencari kebolehan diri sendiri kerana Allah menganugerahkan manusia dengan banyak potensi yang perlu dicungkil.

Selain itu, keperluan memanfaatkan waktu belia untuk melahirkan produk-produk yang boleh memberi manfaat kepada orang sekeliling.

Membincangkan mengenai Wawasan Brunei 2035, belia merupakan generasi yang akan merasakan hasil dari usaha-usaha yang diperjuangkan sebelumnya. Mengambil contoh, pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam juga dikeliling oleh para pemuda belia seperi Abu Bakar As-Siddiq dan Sayyidina Omar.

Justeru, tambahnya, kunci kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah dukungan golongan belia yang membantu Baginda dalam menyebarkan ajaran Islam.

Sehubungan itu, dengan mengikut jejak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan mengangkat belia untuk dibimbing dan memimpin, belia bertugas untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dengan bimbingan guru-guru berpengalaman.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Al-Huffaz Management, Awang Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan yang juga penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia 2020, selaku panel ketiga menerangkan, bahawa untuk berjaya dalam kehidupan, maka belia harus mempersiapkan diri dengan membetulkan niat dalam segala perkara yang dilakukan dan pentingnya Whole of Nation Approach yang memerlukan semua pihak, terutamanya para belia untuk bersatu padu dalam sama-sama memajukan negara.

Moderator forum ialah Penolong Pensyarah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, KUPU SB, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 19 September 2022. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)​


Attachments