Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KEROHANIAN BELIA SYUMUL PERLU DIBENTUK, DIBINA

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 September. - Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar menjelaskan bahawa untuk menjadi belia yang beriman, bertakwa dan syumul, maka mereka perlu sentiasa merujuk kepada Al-Quran dan Sunah termasuk mengenali Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu dengan mempelajari sirah dan keperibadian serta sunnah Baginda.

Semasa membentangkan Kertas Perdana bertajuk 'Membangun belia Syumul berasaskan Sunnah' pada Majlis Perasmian Bengkel Intensif Belia Syumul Harapan Negara, bertempat di Dewan Tarbiah, KUPU SB di sini, beliau seterusnya menyatakan bahawa untuk sentiasa mengamalkan ajaran sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan melazimkan selawat serta salam kepada Baginda dan ahli keluarga.

Dr. Haji Adanan juga menambah, dalam membentuk belia syumul adalah dengan membina kerohanian, termasuk melazimkan diri dalam wuduk, memantapkan bacaan Surah Al-Fatihah, melazimkan sembahyang berjemaah di masjid, duduk di saf hadapan, memahami wirid dan doa, mengamalkan zikir amalan sunnah siang dan malam, sembahyang sunat, doa dengan adab dan khusyuk serta mengamalkan rutin membaca Al-Quran.

bengkelBelia2a.png

SETIAUSAHA Tetap (Kebeliaan), KKBS dan antara yang hadir mendengarkan pembentangan .

Selain itu, katanya, sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga termasuk sentiasa dalam keadaan diri yang bersih, kemas dalam berpakaian dan memakai wangian.

Selain itu, Dr. Haji Adanan turut menjelaskan bahawa untuk menjadi belia yang syumul juga bermaksud menjadi belia yang sihat dan cergas.

Menurutnya, mengamalkan beberapa sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam pemakanan, termasuk memakan madu, Habbatus Sauda, minyak zaitun, susu, kurma, halia dan buah delima yang turut dikaji sangat berkhasiat pada kesihatan secara umum.

bengkelBelia2b.png 

PEMBENTANGAN daripada Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Awang Haji Mohd Azmi bin Haji Omar .

Sementara Profesor Madya Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, KUPU SB, Dr. Muhammad Yusuf bin Khalid dalam pembentangan kertas utama berkaitan cabaran belia syumul menjelaskan, bahawa pada era sekarang yang penuh dengan cabaran, belia perlu bersiap siaga dengan mengukuhkan pemikiran dan jati diri mereka agar sentiasa kuat dalam menghadapi isu dan cabaran.

Perkembangan belia perlu holistik termasuk perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial di mana semua aspek di atas boleh dipenuhi dengan ilmu-ilmu pengetahuan yang perlu dipelajari dan diamalkan seperti ilmu sukan dan aktiviti bagi keperluan jasmani, ilmu tasawuf bagi keperluan rohani, psikologi bagi keperluan emosi dan kemahiran bermasyarakat bagi keperluan sosial.

Justeru, tegasnya, adalah mustahak bagi setiap belia untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk membentuk keperibadian mereka menjadi keperibadian yang holistik sesuai dengan ajaran Islam dan nilai-nilai Melayu Islam Beraja serta menjadi cemerlang dalam lima perkembangan yang disebut sebelum ini.

bengkelBelia2c.png

Profesor Madya Dr. Muhammad Yusuf seterusnya menekankan bahawa belia perlu sentiasa memastikan kekuatan dan kesucian jiwa mereka, iaitu dengan sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Ini kerana musuh utama yang kuat untuk dihadapi adalah diri sendiri, iaitu nafsu al-Ammarah.

''Maka, belia perlu sentiasa memelihara diri mereka dari kebinasaan disebabkan oleh nafsu diri sendiri dengan mengamalkan penyucian jiwa, iaitu 'Tazkiyatun Nafs' agar mendapat reda Allah Subhanahu Wata'ala dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

''Mendekatkan diri kepada Allah Subhabahu Wata'ala iaitu dengan menjauhkan diri daripada nafsu diri sendiri, iaitu tidak berlebihan dalam melayan keinginan yang kurang berfaedah dan bersederhana dalam menjalankan kehidupan,'' tegasnya lagi.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 19 September 2022. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid)

Attachments