Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PUPUK KESEDARAN KEPENTINGAN PENGHAYATAN AHLI SUNNAH WALJAMAAH

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 17 September. - Setiausaha Tetap (Kebeliaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin menyeru para belia untuk terus komited berpegang teguh terhadap ajaran Islam, menjaga jati diri, berakhlak mulia berwawasan tinggi dan berfikiran terbuka serta sentiasa positif dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang kian mencabar.

Merasmikan Bengkel Intensif Belia Syumul Harapan Negara, Awang Haji Zakaria seterusnya berkata, para belia adalah komponen kritikal dalam usaha pembangunan negara selaku stakeholder yang dinamik untuk survival bangsa dan negara.

''Kita baru sahaja menyambut Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-17 pada 9 Ogos 2022 dengan tema Belia Siaga Masa Depan.

''Tema ini adalah sangat relevan dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat belia Brunei sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran masa depan khususnya dalam konteks Revolusi Industri Keempat dan perkembangan ekonomi digital dalam norma baharu yang banyak menghamparkan peluang dan perubahan,'' jelasnya pada majlis yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.

Awang Haji Zakaria juga berucap bahawa objektif seminar ini adalah sebagai wadah untuk membekalkan belia dengan kefahaman ugama Islam, keilmuan Islam, di samping menambahkan keimanan, ketakwaan menerusi aktiviti ilmiah yang dikendalikan di dalamnya dan juga akhlak yang mulia.

Menurutnya, objektif seminar itu adalah bertepatan dan selaras dalam konteks Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 dan Wawasan Belia, iaitu 'Belia yang Berakhlak Mulia, Bertaraf Dunia dan Agen Siaga Perubahan Masa Hadapan dalam Semua Pembangunan Negara Secara Inklusif' dan secara langsung merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Awang Haji Zakaria seterusnya menekankan, belia yang siaga masa depan adalah belia yang mempunyai kualiti luaran dan dalaman serta berani mendepani perubahan.

Dalam hal ini, tambahnya, golongan belia juga dituntut untuk mempunyai akhlak yang mulia dan sentiasa mengamalkan cara kehidupan mengikut calak kebruneian kita dalam sama-sama mengukuhkan budaya perpaduan yang amat dituntut seperti taat setia kepada raja, negara dan ugama.

''Saya sangat yakin seminar dan bengkel yang diadakan ini nanti akan dapat memperkasa kefahaman berugama dalam kalangan belia di samping mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dari segi mental dan fizikal dengan bersukan atau beriadah serta pengambilan makanan sihat sesuai dengan ajaran Islam,'' katanya lagi.

bengkelBelia1.png

SETIAUSAHA Tetap (Kebeliaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ketika berucap.

Bengkel Intensif Belia Syumul Harapan Negara yang dikendalikan secara bersiri oleh KUPU SB akan bermula pada Oktober 2022 sehingga Februari 2023 nanti.

Dengan tema 'Belia Siaga Masa Depan' , antara tajuk bengkel yang akan diketengahkan ialah Pengukuhan Akidah Ahli Sunnah Waljamaah, Belia pencinta Al-Quran dan Hadis, Kepimpinan belia Melayu Islam Beraja dan Belia Pemerkasa Jawi dan Kitab Turath.

Adapun objektif bengkel antaranya adalah untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan penghayatan Ahli Sunnah Waljamaah dan mengamalkan ajarannya dalam kalangan para belia.

Selain itu, bengkel diharap dapat mendidik para peserta supaya sentiasa istiqamah dalam memahami dan mengamalkan menghayati konsep ajaran aliran kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dalam kehidupan seharian.

Selain itu, ia juga mewujudkan wadah / sarana yang relevan dan terancang menjurus kepada pembangunan diri belia yang holistik.

Para peserta bengkel termasuk belia-belia Da'ie, Belia-belia Masjid, Sukarelawan Belia, Pelatih, Pusat Pembangunan Belia, KKBS, Alumni Program Khidmat Bakti Negara serta mahasiswa dan mahasiswi Institusi pengajian tinggi.

Bengkel turut dibukakan kepada orang awam yang berminat dan bagi maklumat lanjut atau pertanyaan bolehlah menghubungi Pegawai Penyelidik Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, KUPU SB, Awang Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa, menerusi talian +673 8628213.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 19 September 2022. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid)

Attachments