Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

VAKSIN KETUHANAN, TOLAK MUDARAT, MUSIBAH

BERAKAS, Sabtu, 4 Jun. - Dasar pentadbiran Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah Melayu Islam Beraja (MIB) dan Negara Zikir sebagai matlamatnya iaitu sebuah negara yang rakyat dan penduduknya sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala.

Dalam masa yang sama, segala tindak-tanduknya dengan tujuan dan harapan agar kehidupan bermasyarakat dan bernegara adalah dalam keadaan aman, tenteram, harmoni dan selamat dari sebarang anasir jahat yang menjejaskan nikmat keamanan, ketenteraman dan keharmonian itu.

Ke arah dalam memastikan kekalnya keamanan, ketenteraman, keharmonian dan keselamatan agar terus dinikmati oleh generasi akan datang, perlunya inisiatif dilaksanakan dalam mengajak masyarakat mengutamakan dan mengikut ajaran Islam dalam kehidupan seharian serta ia merupakan langkah wajar bagi mengekalkan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada NBD.

myce2022_a.png

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Berhormat Menteri Kesihatan; dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut hadir pada Seminar Pendidikan Kefahaman Vaksin Ketuhanan dan S.O.P Keugamaan.

Demikian antara inti pati yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin dalam pembentangan Kertas Perdana dengan mengupas tema Seminar Pendidikan Kefahaman Vaksin Ketuhanan dan S.O.P Keugamaan, iaitu Pengamalan Vaksin Ketuhananan dan S.O.P Ugama Manifestasi Negara Zikir.

Pada seminar yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini, Timbalan Mufti Kerajaan, seterusnya menerangkan bahawa Vaksin Ketuhanan yang berupa amalan seperti doa, zikir, istighfar, selawat, bacaan Al-Quran dan seumpamanya mempunyai kekuatannya sendiri, dalam menolak mudharat dan musibah.

Timbalan Mufti Kerajaan seterusnya menambah, S.O.P Ugama yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya apabila tidak dipatuhi akan mendatangkan mudharat dalam kehidupan.

myce2022_b1.png

TIMBALAN Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin semasa membentangkan Kertas Perdana (kiri), sementara gambar kanan, Pengerusi Jawatankuasa Pandu, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ketika ucapan alu-aluan.

Vaksin Ketuhanan dan S.O.P Ugama tegasnya, penting dalam mendepani cabaran kesusahan penularan wabak COVID-19. Malahan ia adalah sebagai sebahagian langkah menuju matlamat menjadikan NBD sebagai sebuah Negara Zikir.

Timbalan Mufti Kerajaan seterusnya menekankan, perlunya rakyat sentiasa berdamping dengan ar-Rahman agar kita sentiasa dalam perhatian Allah. Malahan kriteria utama adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk yang sentiasa ingatkan Allah serta patuh dan taat dalam melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya agar kehidupan menjadi berkat aman, tenteram, selamat dan harmoni kerana mendapat rahmat Allah.

Turut hadir pada seminar tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Juga hadir, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, bacaan Asma Al-Husna, Selawat Tafrijiyyah dan seterusnya lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pandu, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adnan bin Haji Basar.

Sementara itu, Ceramah Khas bertajuk 'Kehebatan Pendekatan Vaksin Ketuhanan dan S.O.P Ugama Dalam Mendepani Wabak" menjelaskan, wabak memang sudah lama wujudnya dan kesannya kepada orang yang terdahulu lebih dahsyat.

Sejarah yang terdahulu ini sudah memberikan pengetahuan kepada manusia zaman sekarang dan ia bukanlah suatu yang baharu.

myce2022_b2.png

PENGASUH Pesantren Tahfizh Al-Quran Az-Zahra Riau, Indonesia, Yang Berbahagia Ustaz Dr. H. Abdul Somad Batubara semasa menyampaikan Ceramah Khas.

Pengasuh Pesantren Tahfizh Al-Quran Az-Zahra Riau, Indonesia, Yang Berbahagia Ustaz Dr. H. Abdul Somad Batubara semasa menyampaikan secara virtual juga menjelaskan bahawa dengan mempelajarinya kita sepatutnya sabar dalam menghadapi wabak yang ada sekarang.

Islam menjaga nyawa dan perlunya kita menjaga orang lain antaranya dengan mengenakan sungkup muka.

Perkara itu, jelasnya dalam menghadapi wabak, prinsip utama adalah dengan tidak menjerumuskan diri kepada kebinasaan dan memudaratkan orang lain. Wabak bukan sahaja azab semata-mata, malahan adalah rahmat bagi orang beriman.

Tegasnya, sebagai hamba Allah perlunya yakin akan takdir Allah agar mendapat syahid. Allah akan reda jika kita reda akan Allah. Dan ini menunjukkan kita harus mengambil langkah-langkah bagi mendepani wabak.

Yang Berbahagia Ustaz menekankan, perlunya seorang Muslim itu berusaha menjaga kesihatan diri, jangan menuju kebinasaan dan perlunya sentiasa sabar jika terkena wabak.

Seminar yang dikendalikan oleh KUPU SB itu bersempena dengan acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) dengan tema, 'Pengamalan Vaksin Ketuhanan dan S.O.P Ugama Manifestasi Negara Zikir'.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 6 Jun 2022. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Hamzah Mohidin)

Attachments