Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB ADAKAN MAJLIS PEMBUBARAN, PELANTIKAN MPP BAHARU

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Januari. - Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 1442 Hijrah / 2020 Masihi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengadakan Majlis Pembubaran MPP Sesi 2020 / 2021 dan Majlis Pelantikan MPP yang baharu, bagi Sesi 2021 / 2022, bertempat di Dewan Tarbiyah, KUPU SB.

Majlis tersebut diadakan setiap tahun dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai aktiviti tahunan KUPU SB bersempena selesainya tempoh MPP Sesi 2020 / 2021.

Hadir selaku tetamu kehormat, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

pembubaranMPP_ori1.png

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hadir pada Majlis Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2020 / 2021 dan Majlis Pelantikan MPP yang baharu, bagi Sesi 2021 / 2022.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Asma Al-Husna, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam beramai-ramai.

Seterusnya, ucapan pembubaran daripada Yang Di-Pertua Pelajar bagi Sesi 2020 / 2021, Wan Muhammad Zahid bin Metusin.

pembubaran_mpp2.jpg

YANG Di-Pertua Pelajar ketika berucap.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Persatuan Pelajar, MPP Sesi 2020 / 2021 kerana dengan jayanya menjalankan beberapa program juga aktiviti dan majlis-majlis, di bawah kendalian MPP, di sepanjang memegang jawatan dalam Sesi 2020 / 2021 yang lalu.

Menurut beliau, pelbagai halangan, cabaran, dugaan, rintangan, kemunduran, kegagalan dan kejayaan yang dihadapi dengan hati yang kuat juga minda yang terbuka, dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KUPU SB kerana memberikan kepercayaan amanah dalam menjalankan pelbagai aktiviti mahupun majlis.

Majlis diteruskan dengan tayangan video daripada MPP Sesi 2020 / 2021 dan pengumuman MPP yang baharu. Majlis juga diikuti dengan ucapan daripada Yang Di-Pertua Pelajar yang baharu, iaitu Haji Ahmad bin Haji Abas.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan, bahawa mereka akan berusaha untuk membimbing rakan-rakan sejawatan agar berganding bahu, bermuafakat untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik melalui bimbingan Dekan Pelajar dan para pegawai yang lain.

Bahkan mereka juga akan berusaha menjadi contoh kepada rakan-rakan, dengan mematuhi peraturan KUPU SB dan tidak akan mengabaikan pembelajaran mereka dalam kesibukan menjalankan tugas.

Seramai 56 mahasiswa dipilih untuk dicalonkan sebagai Ahli MPP Sesi 2021 / 2022.

Para calon, terdiri daripada mahasiswa Tahun Dua dan Tiga Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, sama ada mahasiswa latihan dalam perkhidmatan atau pra perkhidmatan.

Antara pengisian aktiviti ialah pembentangan Kunci Kira-kira Kewangan oleh Bendahari MPP Sesi 2020 / 2021; pengumuman Ahli MPP Sesi 2021 / 2022; timbang terima dan penyerahan tugas dan fail kepada wakil Ahli MPP Sesi 2021 / 2022; dan ucapan pembubaran Ahli MPP Sesi 2020 / 2021 dan perasmian Ahli MPP Sesi 2021 / 2022 KUPU SB oleh Ra'es KUPU SB.

Majlis tersebut bertujuan bagi menjelaskan aliran kewangan persatuan pelajar sebelum pembubaran, di samping mengumumkan pelantikan Ahliahli MPP yang baharu dilantik juga mengongsikan pengalaman dalam melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang memegang jawatan.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 15 Januari 2022. Siaran Akhbar dan Foto : Kolej Universiti Perguruan Ugama)

Attachments