Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BERI DIDIKAN UGAMA KEPADA GOLONGAN OKU

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Disember. - Program Nadwah Tarbiah Islamiah diteruskan lagi dengan episod keempat pengisian dalam Bual Bicara Tarbiah Islamiah dan untuk episod kali ini membawakan tema perbincangan, 'Pendidikan Khas', dengan tajuk 'Muliakan OKU dengan Ugama', yang diadakan secara dalam talian, di sini.

Perbincangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Haji Norakyairee bin Mohd. Raus.

Dr. Haji Norakyairee menerangkan, bahawa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), segelintirnya ada yang mahu menambah kefahaman tentang agama Islam dan mereka tidak terkecuali dari berhak mendapat perhatian guru-guru untuk belajar.

Menurutnya, guru dan semua masyarakat perlu faham ketidakupayaan itu bukanlah datang daripada kekurangan anak-anak OKU tersebut, akan tetapi ia datang daripada pandangan segelintir masyarakat itu sendiri, yang tidak yakin dengan keupayaan komuniti OKU ini dan komuniti OKU ini juga berhak diajarkan tentang agama.

Jelas Dr. Haji Norakyairee lagi, peranan guru bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi menghubungkan ilmu itu dengan kehidupan agar ilmu tidak tinggal hanya teoritikal semata-mata.

Beliau menjelaskan, bakal guru harus mencari cara bagaimana mereka, bukan sahaja sebagai seorang guru, tetapi juga sebagai pendakwah yang dapat mengajar komuniti OKU tersebut mengenai Islam dengan syumul dan guru pendidikan khas perlu melihat kekuatan setiap OKU itu, seperti komuniti OKU Kurang Penglihatan, kekuatan mereka adalah pendengaran, manakala OKU Kurang Pendengaran pula, kekuatan mereka adalah visual.

Tambahnya lagi, di sinilah sebagai guru kita mestilah ada 4 'E', iaitu 'Engage', 'Explore', 'Explain' dan 'Elaborate' untuk menentukan kaedah pengajaran yang bersesuaian.

nadwah_oku.png

BUAL Bicara Tarbiah Islamiah untuk episod kali ini membawakan tema perbincangan, 'Pendidikan Khas', dengan tajuk 'Muliakan OKU dengan Ugama', yang diadakan secara dalam talian.

Beliau, seterusnya berkata, bahawa antara inovasi yang dibuat oleh kumpulan Penyelidik di Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, USIM sebagai inisiatif untuk komuniti OKU adalah Aplikasi Quran Isyarat.

''Aplikasi tersebut merupakan pertama seumpamanya di dunia dan dibangunkan bertujuan khas untuk membantu komuniti OKU pendengaran berinteraksi dengan Al-Quran dan mereka bukan sekadar hanya kenal huruf-huruf Hijaiyah, namun juga mampu untuk membaca, memahami dan menghafaz Al-Quran,'' jelasnya lagi.

Beliau, seterusnya menasihatkan, sebagai guru kita tidak boleh berniat untuk mengajar anak murid hanya untuk menjadi pandai kerana jika hasilnya tidak seperti yang sedemikian, guru akan marah dan ini yang menyebabkan hilangnya keikhlasan guru itu.

''Guru perlu yakin, bahawa anak istimewa adalah anugerah daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan kita mestilah reda dengan ketentuan-Nya dan usaha perlu ada bagi mendidik mereka untuk mengenal Allah Subhanahu Wata'ala,'' tambahnya lagi.

Program Nadwah Tarbiah Islamiah merupakan anjuran kerjasama Fakulti Pendidikan, Pusat Multimedia dan Teknologi juga Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Program ini menekankan aspek kesepaduan di antara teori dan praktik, yang diharap akan memberikan para pendengar kefahaman juga amalan terbaik dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam yang berkesan sesuai dengan perkembangan semasa juga norma baharu.

Dalam masa yang sama memberi manfaat kepada peserta dalam aspek pensejarahan Pendidikan Islam holistik, bagi mendepani masa depan yang lebih cemerlang dalam pembangunan ummah.

Program Nadwah Tarbiah Islamiah akan diteruskan lagi pada Jumaat, iaitu setiap dua minggu yang dibukakan kepada orang ramai, dengan membawakan perbincangan dengan konsep, tajuk dan penyampai yang berlainan.

Untuk sebarang maklumat terkini bolehlah mengikuti Instagram rasmi KUPU SB, @kupusb_official dan Fakulti Pendidikan, KUPU SB, @fakultipendidikan.kupusb.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 20 Disember 2021. Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)

Attachments