Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PERKUKUHKAN IMAN KANAK-KANAK

TUTONG, Rabu, 8 Disember. - An-Nas yang digelar Al-Muwazzatain, selain Surah Al-Falaq merupakan surah yang amat digalakkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diamalkan sebagai benteng perlindungan dalaman manusia.

Meskipun hanya mempunyai enam ayat sahaja, tetapi ia mencukupi bagi menjelaskan peranan Tuhan selaku pelindung terbaik bagi manusia.

Perkara tersebut, antara inti pati ceramah bertajuk, 'Mengukuhkan Akidah melalui Tadabbur Surah An-Nas', disampaikan oleh Penolong Profesor Fakulti Usuluddin di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Mikdar Rusdi bagi Kuliah Bulanan Ahli Sunnah Waljamaah, yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom.

Penolong Profesor Fakulti Usuluddin di KUPU SB juga menerangkan, bahawa surah ini mengajarkan kita selaku manusia untuk berhati-hati dan sentiasa berlindung kepada Tuhan daripada bisikan-bisikan yang selalu mendorong manusia untuk melakukan kejahatan, yang terdiri daripada bisikan manusia dan jin.

kuliah_aswj.png

CERAMAH bertajuk, 'Mengukuhkan Akidah melalui Tadabbur Surah An-Nas', disampaikan oleh Penolong Profesor Fakulti Usuluddin di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Mikdar Rusdi bagi Kuliah Bulanan Ahli Sunnah Waljamaah, yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom.

"Bisikan-bisikan kejahatan ini walaupun halus, ia mampu memberikan impak yang sangat besar dan menjerumuskan seseorang ke dalaman kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala.

 ''Adalah amat penting untuk mendidik kanak-kanak sedari awal untuk mengenal Tuhan sebagai pengukuhan asas akidah agar tidak mudah terpengaruh dengan kefahaman yang menyeleweng," jelasnya.

Tambahnya, selain berusaha mengukuhkan akidah, dengan ilmu dan kefahaman yang betul, kita hendaklah sentiasa memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sentiasa berusaha untuk menggoyahkan keimanan seseorang itu.

Kuliah yang diselenggarakan tersebut merupakan kolaborasi masjid berkenaan bersama Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah KUPU SB sebagai aktiviti pengukuhan akidah yang dibuat sebulan sekali, dengan menampilkan penceramah - penceramah undangan dari KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 11 Disember 2021.Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah)

Attachments